CFALT promosi keindahan Seberang Perai

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

JURU – Seramai 1,907 pengayuh berjaya menamatkan acara berbasikal Care For A Lane Tristate (CFALT) merentasi tiga negeri yang julung kali diadakan di Seberang Perai dengan kerjasama Ideal Property CFAL Tristate, Kelab Basikal LP dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng hadir menyempurnakan upacara pelepasan peserta seawal jam 6.20 pagi membabitkan laluan sejauh 128 kilometer merentasi negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Hadir sama, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif, Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Perbandaran MPSP), Datuk Dr. Lim Seh Guan (Presiden G Club Cyclist), Lim Chee Loon (Pengerusi Jawatankuasa Penganjur CFALT dan Datuk Alex Ooi (Ketua Pegawai Eksekutif Ideal Property).

Menurut Maimunah, objektif penganjuran acara tersebut adalah untuk mempromosikan keindahan dan keunikan Seberang Perai selain menjalankan aktiviti sihat bersama masyarakat.

“Peserta akan melalui laluan yang menarik dengan permandangan cantik di sekitar Seberang Perai.

“Justeru, acara ini adalah amat sesuai untuk mempromosikan kawasan Seberang Perai sebagai destinasi pelancongan di masa akan datang,” katanya pada Majlis Pelepasan Peserta CFALT di sini baru-baru ini.

Tambah Maimunah, MPSP amat komited dengan komitmen Kerajaan Negeri mempromosikan kehidupan yang sihat untuk warga Seberang Perai terutamanya aktiviti berbasikal.

“Sebagai tanda menyokong usaha ini, MPSP telah membuat tanda laluan berbasikal untuk kemudahan masyarakat beriadah di seluruh daerah di sini.

“Di sini, saya ingin menyeru kepada semua penduduk agar dapat menggunakan kemudahan laluan berbasikal dengan sebaik mungkin bagi meneruskan program ini di masa hadapan,” ujar beliau.

Sehingga kini, Maimunah memberitahu, MPSP telah membelanjakan sebanyak RM35,600 untuk memasang 89 tiang papan tanda laluan berbasikal masing-masing di Seberang Perai Utara (SPU) sebanyak 33 tiang, Seberang Perai Tengah (36) dan Seberang Perai Selatan (20).