Contohi skuad karate, pemecah rekod memanah SUKMA

KUCHING – Penyumbang terbesar, skuad karate negeri dengan tujuh pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak baru-baru ini mendapat pujian Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng.

“Saya berbangga dengan pencapaian skuad karate pada SUKMA Sarawak kali ini…menyapu hampir semua emas dalam disiplin karate yang dipertandingkan.

“Malah, saya juga berbangga dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan kontinjen Pulau Pinang tidak kira dalam apa acara, sama ada menang atau pun kalah,” ujarnya pada Majlis Penutupan SUKMA Sarawak di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang turut memuji pemanah negeri, M. Kambheswaran yang memecahkan rekod Kebangsaan dan rekod kejohanan bagi acara 30 Meter Kompaun (Lelaki), dengan mengumpul markah penuh 360 mata.

Kambheswaran memecahkan rekod Kebangsaan dipegang oleh Khairul Fadli Jamaluddin pada SUKMA Sabah 2011, dengan pungutan 359 mata. Malah, beliau (Kambheswaran) turut memenangi emas dalam acara Kompaun 70 Meter (Lelaki) dan Perak bagi Kompaun 90 Meter (Lelaki).

Mengulas lanjut, Chong Eng berharap barisan atlet bagi acara-acara lain mencontohi mereka yang berjaya membawa pulang pingat emas untuk Pulau Pinang.

SUKMA Ke-18 Sarawak 2016 yang berlangsung pada 23 hingga 31 Julai lalu menyaksikan skuad karate menyumbang 12 pingat, iaitu tujuh emas, perak (1) dan gangsa (4).

Kontinjen Pulau Pinang mendapat 67 pingat keseluruhan pada kejohanan kali ini berbanding 75 pada musim sebelumnya di SUKMA Perlis.

Pingat-pingat emas bagi karate disumbangkan oleh Ivan Oh bagi Kategori Kata Individu Lelaki, S. Priyashankari Kumita (Kategori Bawah 45 Kilogram), Khaw Yee Voon (Kategori Kata Individu Wanita, Kata Berpasukan Lelaki dan Wanita), Chew Han Tiong (Kategori Kumite Lelaki bawah 85kg) dan Thor Sin De (Kategori Kumite Wanita bawah 68kg).

Sementara pingat perak disumbangkan oleh Levenesswaran menerusi Kumite Lelaki.

Pingat gangsa pula dimenangi oleh Wong Yie Hang, Sharventharan dan Ong Khang Tatt (Kategori Kumite Lelaki) dan Ch’ng Xi Han (Kategori Kumite Wanita).

Skuad artistik dan wushu masingmasing membawa pulang tiga pingat emas, dua emas masing-masing dari pasukan memanah, badminton, angkat berat, renang, akuatik; pencak silat.

Pelayaran, sepak takraw dan hoki masing-masing menyumbangkan satu emas.