Dasar Pengasingan Sisa Di Punca kawal pertumbuhan sampah domestik

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN

SUNGAI PINANG – Undang-undang Kecil Pengasingan Sampah dan Pelesenan Perkhidmatan Pemungutan Sampah Yang
Boleh Dikitar Semula kini diwartakan di Pulau Pinang berhubung tatacara pengurusan sampah.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, tempoh setahun telah berlalu apabila Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan pelbagai program pendidikan kepada masyarakat berhubung
pengasingan sisa sejak 1 Jun 2016.

“Sejak dilaksanakan (1 Jun 2016), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menggunakan pendekatan mendidik masyarakat meliputi pelbagai kategori seperti kediaman bertanah, kediaman bertingkat, kompleks membeli-belah, hotel, industri dan sebagainya.

“Semua pihak berkepentingan ini telah diberikan tempoh masa yang mencukupi untuk membiasakan diri dengan menjalankan pengasingan sisa pepejal, terutamanya dalam kalangan pemilik atau penghuni premis serta Badan Pengurusan Bersama (JMB),” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pengasingan Sisa Di Punca dekat 86 Avenue Lorong Perak di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim, Jeff Ooi Chuan Aun (Ahli Parlimen Jelutong), Ar. Yew Tung Seang (Setiausaha Bandaraya MBPP) dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

Tambah beliau, undang-undang kecil tersebut adalah sebahagian daripada polisi Kerajaan Negeri untuk memberi kesedaran alam sekitar kepada masyarakat dengan meningkatkan kadar kitar semula serta mengurangkan kadar beratan sisa pepejal yang dilupuskan di tapak pelupusan.

Kon Yeow memberitahu, pertambahan penduduk sebanyak dua peratus setiap tahun yang meningkatkan pertumbuhan dari segi penjanaan sampah (setiap tahun).

“Namun, sejak pelaksanaan dasar ini, MBPP berjaya mengawal pertumbuhan dari segi sampah domestik yang dilupuskan ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong.

“Walaupun berlaku pertambahan populasi dan pembangunan, namun purata sampah yang dilupuskan adalah konsisten.

“Purata sebanyak 907.61 tan sehari dilupuskan pada tahun 2016, berbanding 607.03 tan sehari (2015) bagi kawasan pentadbiran MBPP,” jelasnya.