Bina 16,569 rumah, Exco dakwa risalah rasmi Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang tidak tepat

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Jagdeep Singh Deo mendakwa bahawa risalah rasmi Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang yang melaporkan sejumlah 16,569 unit rumah mampu milik (RMM) bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dalam proses pembinaan di negeri ini adalah tidak benar sama sekali.

Menurut Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan itu, kedua-dua projek pembinaan kediaman yang dipohon oleh Kerajaan Persekutuan di bawah PR1MA sebelum ini pun sehingga kini masih belum mula dibina di Pulau Pinang.

“(Projek pembinaan 16,569 unit kediaman di Pulau Pinang) ini adalah langsung tidak benar.

“Kalau (projek pembinaan 16,569 unit kediaman di Pulau Pinang) ini langsung tidak benar, saya ingat apa dalam buku ini langsung tidak boleh dipercayai,” tegasnya dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri di sini 16 Jun lalu.

Menurut Jagdeep, sehingga kini, hanya empat permohonan untuk pembinaan PR1MA diterima Pihak Berkuasa Kerajaan Negeri, iaitu di Batu Feringghi pada 26 Ogos 2015, Tasek Gelugor (11 Disember 2015), Bukit Gelugor (19 Februari 2016) dan Balik Pulau (28 Mac 2016).

“Daripada empat (projek Kerajaan Persekutuan) itu, cuma dua sahaja telah diluluskan, iaitu di Bukit Gelugor untuk pembinaan 905 unit Rumah Mampu Milik (RMM) pada 11 Oktober 2016 dan Batu Feringghi membabitkan sejumlah 1,248 unit (RMM) pada 22 November 2016.

“Permohonan lain dikembalikan kepada pihak PR1MA untuk disemak semula memandangkan ketidakpatuhan terhadap Garis Panduan Perumahan di Negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat sambil mengkritik agensi Persekutuan yang menerbitkan risalah perumahan tanpa data informasi yang sebenar.

Selain itu, Jagdeep turut mengkritik Perbadanan PR1MA Malaysia pada 28 Mac lalu memohon pelingkungan semula daripada zon pertanian dan padang golf kepada zon perumahan am untuk RMM menggunakan densiti 60 unit per ekar di atas Lot 199, 200, 304, 332, 348, 362 dan 364, Mukim B Kuala Sungai Pinang dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Teluk Bahang, Balik Pulau.

“Kerajaan Negeri menetapkan had ketinggian di kawasan seperti Balik Pulau, yang mana had ketinggian dibenarkan adalah cuma 16 tingkat dan itupun di kawasan yang tertentu.

“Apa yang mengejutkan adalah pemajuan yang dicadangkan di kawasan tersebut oleh PR1MA adalah untuk 29 blok pangsapuri mencecah sehingga 27 tingkat, yang mana langsung tidak menghiraukan garis panduan yang wujud bagi pembangunan di kawasan Balik Pulau,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mencabar pembangkang, khususnya MCA supaya mengemukakan bukti berwajib serta menyatakan pendirian sama ada Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang hari ini lebih menjaga kepentingan penduduk di Balik Pulau berbanding Kerajaan Persekutuan atau sebaliknya.