Guan Eng anggap media sensasikan isu migrasi penduduk, pelabur ke Perak

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menganggap sebuah akhbar berbahasa Inggeris cuma mensensasikan isu semata-mata apabila penerbitan berkaitan pada 22 Jun lepas menyiarkan berita ‘Working in Penang but opting to stay in northern Perak‘.

“Saya berharap surat khabar tersebut dan beberapa akhbar lain, kedua-duanya lihatlah fakta yang sebenar.

“Saya fikir mereka (akhbar berkenaan) cuba cari isu untuk disensasikan sahaja…laporan ini begitu meragukan,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam pada
sidang media di sini baru-baru ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat turut sertai sidang media itu.

Surat khabar tersebut antara lain melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak mendakwa bahawa kos sara hidup yang tinggi di negeri ini mendorong pekerja Pulau Pinang berhijrah mendiami utara Perak.

Turut dilaporkan, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mendakwa kilang-kilang di Pulau Pinang mulai ditutup dan pelabur industri dari negeri ini mula berpindah ke Perak.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga ADUN Air Putih memberitahu, pelaburan ke Pulau Pinang dalam tempoh tahun 2008 hingga 2016 sejumlah RM59.2 bilion (RM59,229,873,870) adalah menyamai hampir tiga kali ganda, berbanding pelaburan ke Perak dalam tempoh sama sebanyak RM22.2 bilion (RM22,232,235,835) sahaja.

“Bagaimana boleh nyatakan bahawa kilang tutup di Pulau Pinang dan berpindah ke Perak…apabila dilihat pada angka, ternyata tidaklah benar,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan sambil mengemukakan data statistik rasmi agensi persekutuan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

Guan Eng memberitahu, Laporan Penyiasatan Migrasi, Malaysia 2016 pula menunjukkan Nisbah Keberkesanan Migrasi bagi tempoh 2015 hingga 2016, yang mana Pulau Pinang mencatatkan nisbah keberkesanan migrasi yang tertinggi, iaitu 58.4 peratus.

“Ini bermakna, penduduk Pulau Pinang akan bertambah sebanyak 58 orang bagi setiap 100 migran antara negeri yang berhijrah keluar dan masuk negeri tersebut.

“Ini, diikuti oleh Perlis dengan nisbah keberkesanan migrasi 48.6 peratus, iaitu pertambahan 49 orang bagi setiap 100 migran antara negeri yang berhijrah keluar dan masuk negeri tersebut.

“Sebaliknya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan nisbah keberkesanan migrasi negatif tertinggi, iaitu 93.4 peratus.

“Ini menunjukkan penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkurangan 93 orang bagi setiap 100 migran antara negeri yang berhijrah keluar dan masuk negeri tersebut,” jelasnya memetik laporan rasmi tersebut.

Bagi Guan Eng, gambaran bahawa penduduk Pulau Pinang ketika ini banyak berhijrah keluar, termasuk ke negeri Perak hanya isu yang disensasikan.

“Ramai orang bekerja di Pulau Pinang, dan mendiami Pulau Pinang.

“Apa yang saya nak sebutkan bahawa laporan berita ini adalah tidak benar sama sekali, jika berdasarkan laporan rasmi tersebut,” katanya sambil menasihatkan akhbar berkaitan supaya lebih beretika dalam menyiarkan berita mengenai Pulau Pinang.