Derma darah MPSP demi pesakit Thalassaemia

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mempertimbang syor mengadakan program derma darah secara berkala kelak demi membantu memenuhi keperluan lebih 250 pesakit thalassaemia berdaftar di Hospital Seberang Jaya, kata Yang di-Pertuanya, Datuk Maimunah Mohd. Sharif di sini baru-baru ini.

“Kita menerima permohonan Pertubuhan Thalassaemia Pulau Pinang untuk mengadakan kempen derma darah dengan warga MPSP kerana di Hospital Seberang Jaya sahaja, terdapat lebih 250 pesakit berdaftar.

“Kempen derma darah selalu diadakan bersama MPSP, tetapi, ini kali pertama (kempen derma darah) untuk sokongan kepada pesakit thalassaemia. “Kalau tiada masalah logistik pekerja pada hari ini, kita pertimbang untuk anjur lagi,” ujarnya di Auditorium Kompleks Ibu Pejabat MPSP Bandar Perda di sini baru-baru ini. Penolong Pegawai Penerangan Unit Tabung Darah Hospital Seberang Jaya, Siti Nor Asikin Haria turut berucap pada majlis tersebut.

Hadirsama , Pentadbir Pertubuhan Thalassaemia Pulau Pinang, Lily Boey serta beberapa Ahli Majlis MPSP, antaranya, Rezal Huzairi Md. Zaki, Ahmad Tarmizi Abdullah, Mohamad Shaipol Ismail, H’ng Mooi Lye, Mohd. Rizal Abdul Hamid, Tan Chee Teong, Tan Chong Hee dan Zuklifli Ibrahim.

Menurut Maimunah, lebih 200 warga MPSP yang rata-rata pekerja am kontrak hadir untuk menyertai derma darah seawal jam 10 pagi. Bercakap pada sidang media sama, Lily memberitahu, pertubuhannya menganggarkan bilangan pesakit thalassaemia di Seberang Jaya lebih dari angka 250 yang direkodkan Kerajaan Negeri.

“Kita yakin bilangan pesakit thalassaemia lebih dari angka itu (250 orang) kerana masih ramai yang tidak berdaftar dengan kami atau pihak Hospital Seberang Jaya, dan tidak juga mendapatkan rawatan lanjut di hospital swasta yang sudah tentu mahal kosnya,” ujar beliau.

Thalassaemia merupakan penyakit genetik diwarisi oleh keluarga kepada anak dalam bentuk kecacatan gen yang menyebabkan pesakit tidak dapat menghasilkan hemoglobin mencukupi dalam darah mereka.