Kapten Bas Rapid Penang cedera ditikam terima lawatan KM

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMMAD

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini mengambil inisiatif khas mengadakan lawatan terhadap Kapten Bas Rapid Penang Sdn. Bhd. (Rapid Penang) yang cedera parah pada paha kiri dipercayai ditikam seorang penumpang wanita di sini baru-baru ini Bersempena lawatan tersebut, Guan Eng bagi pihak Kerajaan Negeri turut menyumbangkan RM1,000 kepada mangsa, Aisyamudin Yaacob, 27, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Jabatan Anestisiologi dan Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang (HPP).

Sumbangan tersebut diterima abang mangsa, Mohd. Noor Asyrie Yaacob, 34.

Dalam lawatan tersebut, Guan Eng yang diiringi Ketua Pegawai Operasi Rapid Penang, Mejar (B) Mohd. Shukri Abd. Rahman dan Pengarah HPP, Datuk Dr. Yasmin Sulaiman meluangkan kira-kira 15 minit untuk bertanyakan khabar dan menyampaikan sumbangan berkenaan.

Guan Eng ketika ditemui berkata, beliau berharap supaya Aisyamudin pulih segera, sihat dan kembali bertugas seperti sedia kala.

“Saya juga telah berbincang dengan COO Rapid Penang dan mencadangkan supaya pihaknya dapat mempertingkatkan sistem keselamatan dalam bas bagi menjamin keselamatan pemandu dan juga penumpang-penumpang lain.

“Selain memasang CCTV (kamera litar tertutup) di dalam bas, Rapid Penang juga boleh mempertimbangkan pemasangan pengadang atau besi sekatan untuk melindungi pemandu seperti di Jepun dan beberapa buah negara Eropah,” katanya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd. Noor Asyrie, 34 memberitahu, menurut doktor yang merawat adiknya, Aisyamudin sudah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

“Kami sekeluarga sangat bersyukur kerana doktor berjaya menyelamatkan kaki adik saya daripada dipotong akibat kecederaan tikaman itu.

“Alhamdulillah, dia sudah mula sedar walaupun masih pakai alat bantuan penafasan dan ada sedikit pergerakan pada mata dan tangannya apabila namanya dipanggil,” ujar beliau.

Dalam insiden 6 Oktober lalu, jam 6.55 pagi, Aisyamudin ditikam beberapa kali di paha kiri menggunakan sebilah pisau oleh seorang penumpang wanita di Jalan Paya Terubung, Relau di sini.