Eco Marina, pacu Batu Kawan sebagai bandar satelit terunggul

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Eco World Development Group Berhad (Eco World) bakal memulakan projek pembangunan bercampur dikenali sebagai Eco Marina di Batu Kawan dengan nilai hartanah RM10 bilion dalam tempoh sembilan bulan akan datang.

Perkara itu dinyatakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World, Datuk Chang Khim Wah pada Majlis Penyerahan Surat Penganugerahan Kontrak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Kepada Eco World di Galeri Eco World di sini baru-baru ini.

Majlis penyerahan tersebut disaksikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Pengerusi Eco World, Tan Sri Liew Kee Sin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-ahli Parlimen, Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

Pengarah Eksekutif Eco World, Datuk Voon Tin Yow dan Liew Tian Xiong serta Ketua Pegawai Operasi Eco World, Datuk S. Rajoo turut serta dalam majlis tersebut.

Menurut Khim Wah, projek Eco Marina terbahagi kepada dua parcel iaitu 300 ekar bagi pembangunan hartanah kediaman serta komersial dan 150 ekar tanah, dijadikan padang golf 18 lubang bertaraf dunia lengkap dengan kemudahan kelab.

“Eco World akan membeli bidang tanah pertama dan memajak bidang tanah kedua untuk pertimbangan nilai berjumlah kira-kira RM769 juta.

“Walau bagaimanapun, majlis pecah tanah hanya akan diadakan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan dari sekarang dan akan mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk siap sepenuhnya.

“Eco Marina mempunyai potensi besar untuk menjadi salah satu kawasan kediaman dan komersial pilihan dan terunggul di Malaysia,” katanya pada sidang media sejurus majlis tersebut.

Tambah Khim Wah, Eco World juga berhasrat untuk membangunkan projek tepi pantai pertama sejauh 2.5 kilometer merangkumi komponen peruncitan dan perhotelan yang akan melengkapkan pesona Eco Marina.

Dalam pada itu, Guan Eng memberitahu, pembangunan Eco Marina dilihat mampu memacu Batu Kawan sebagai sebuah bandar satelit terunggul dan bakal menjadi penanda aras baharu dalam industri hartanah dan pelancongan di kawasan Seberang Perai.

“Eco Marina bukan sahaja mampu menarik pembeli hartanah tempatan, tetapi juga pelabur hartanah dari seluruh dunia kerana keunikan pembangunannya,” ujar beliau.

}