Serambi PI : Ucapan semasa perbahasan RUU Perbekalan Tambahan (2014)

Admin

Oleh: ZAIRIL KHIR JOHARI Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institute

MENURUT hebahan Menteri Pendidikan II, sistem pendidikan negara kita bukan sahaja boleh dianggap sebagai “world-class” atau bertaraf dunia, malah setanding negara-negara maju seperti United Kingdom, Jerman dan Australia.

Meskipun beliau berpendapat bahawa kualiti pendidikan kita sudah mencapai tahap yang begitu tinggi, saya tetap ingin membangkitkan beberapa perkara yang saya rasa harus diberi perhatian yang mendalam.

Cetak rompak oleh Kementerian Pendidikan 

Tuan yang dipertua,

Sememangnya Malaysia bertaraf dunia dalam beberapa bidang, umpamanya dalam sukan badminton dan skuasy di mana dua anak negeri Pulau Pinang kini mendominasi lawan mereka di peringkat antarabangsa. Sesungguhnya, tiada sesiapa yang dapat menafikan kehebatan Dato’ Lee Chong Wei dan Dato’ Nicol David.

Namun, kita juga menjadi “jaguh” dalam beberapa perkara yang tidak membanggakan, seperti Indeks Kapitalisme Kroni yang diterbitkan pada tahun lepas oleh majalah ekonomi terkemuka The Economist. Dalam senarai negara-negara yang paling menggalakkan bagi ahli-ahli perniagaan yang mempunyai kabel politik, Malaysia berada di tempat ketiga di dunia.

Dalam laporan tahunan yang terbaru oleh badan pemerhati kewangan Global Financial Integrity yang berpangkalan di Washington pula, Malaysia menduduki tangga kelima di dunia bagi pengaliran keluar wang haram.

Ada seperkara lagi di mana Malaysia kuat bersaing di peringkat antarabangsa, iaitu dalam bidang cetak rompak. Menurut laporan terbaru oleh badan anti-cetak rompak antarabangsa, Business Software Alliance (BSA), 78 peratus pengguna komputer di Malaysia mengakui bahawa mereka pernah menggunakan perisian cetak rompak. Laporan yang sama juga menganggarkan nilai komersil perisian cetak rompak yang sedang digunakan di Malaysia adalah sebanyak RM2 billion. Hakikat ini menunjukkan bahawa penggunaan hasil karya orang lain tanpa kebenaran atau secara haram sudah menjadi kelumrahan dalam kalangan masyarakat kita.

Malangnya, kecenderungan terhadap cetak rompak ini sudah menyerapi Kementerian Pendidikan. Baru-baru ini, aduan telah dibuat oleh penulis tempatan, Chua Kok Yee, yang mendakwa bahawa tiga buah cerpennya yang bertajuk “Embracing Your Shadow,” “Thieving Daughter” dan “Sambal without Anchovies” telah dipilih sebagai bahan pembacaan wajib untuk mata pelajaran Sastera Bahasa Inggeris SPM. Namun demikian, cerpencerpennya telah dicetak, diedar dan dijual tanpa sebarang
perjanjian royalti dan kebenaran daripada penulis atau penerbitnya, Silverfish Books.

Ekoran daripada pendedahan Chua, dua penulis lain telah membuat tuduhan yang serupa terhadap Kementerian Pendidikan. Kee Thuan Chye, seorang seniman tempatan, telah mendakwa bahawa puisi beliau telah digunakan tanpa kebenaran manakala penulis Amerika Syarikat Robert Raymer menyatakan bahawa cerpennya yang bertajuk “Neighbours” telah digunakan dalam sukatan pelajaran Sastera Bahasa Inggeris SPM dari tahun 2008 hingga 2015 tanpa sebarang bayaran royalti.

Pada masa yang sama, seorang lagi penulis tempatan, Uthaya Sankar SB, turut mengutarakan dakwaan bahawa cetak rompak karya penulis ini juga berlaku dalam mata pelajaran Sastera Bahasa Melayu.

Saya pohon Kementerian menjawab tuduhantuduhan ini. Sekiranya benar, ia sungguh memalukan. Sementara kempen anti-cetak rompak giat dijalankan, nampaknya kerajaan sendiri tidak menghormati hak cipta serta hak milik intelektual penulis – tiada bezanya dengan pencetak rompak yang menjual DVD di pasar malam.

Ketidaktentuan membelenggui sistem pendidikan

Tuan yang dipertua,

Saya beralih pula kepada isu pentaksiran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), iaitu format pembelajaran dan pentaksiran baru yang bertujuan untuk memupuk kemahiran penganalisaan, penilaian dan sintesis (penjanaan ilmu baru). Cara pembelajaran ini memerlukan perkaedahan (metodologi) pemikiran kritis dan penyelesaian masalah yang berbeza daripada cara sedia ada yang berteraskan fakta dan penghafalan.

Saya difahamkan bahawa pentaksiran KBAT sepatutnya diperkenalkan dalam peperiksaan SPM mulai tahun 2017, agar masa yang mencukupi diberi untuk memastikan guru dapat dilatih untuk mengajar murid mengikut perkaedahan baru.

Namun begitu, entah bagaimana 30 hingga 40 peratus daripada soalan SPM tahun lepas telah menggunakan format KBAT, lantas menimbulkan masalah kerana murid dan guru belum lagi didedahkan kepada kaedah baru ini. Malahan, pemeriksa juga belum dilatih dan buku teks baru yang mengandungi format KBAT pun belum sempat dikeluarkan susulan pelaksanaan tiga tahun sebelum ia dijadualkan.

Akibatnya, murid tidak pasti bagaimana untuk menjawab, guru tidak pasti bagaimana untuk mengajar dan pemeriksa tidak pasti bagaimana untuk mentaksir. Justeru, adalah tidak menghairankan bahawa prestasi SPM 2014 telah menurun, dengan hanya 11,289 calon atau 2.6 peratus yang berjaya mendapat gred A dalam semua mata pelajaran, berbanding 13,970 pada tahun 2013.

Mengapakah Lembaga Peperiksaan bertindak dengan begitu tidak konsisten? Walaupun pentaksiran KBAT adalah usaha yang baik, tidakkah patut ia dilakukan dengan lebih teratur dan bukan secara tiba-tiba tanpa persediaan awal?

Masalah ketidaktentuan ini tidak terhad kepada KBAT. Menurut pekeliling Lembaga Peperiksaan pada tahun kepas, ujian amali SPM bagi mata pelajaran sains seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan sepatutnya mula dilaksanakan pada tahun ini.

Susulan daripada arahan pusat tersebut, maka sekolah-sekolah pun mula mengajar murid untuk menghadapi ujian amali sains. Pun begitu, keperluan baru ini menimbulkan masalah bagi sesetengah sekolah yang tidak lengkap peralatan makmalnya. Ada pula sekolah yang terpaksa mengumpul dana atas usaha sendiri untuk membiayai makmal sains mereka.

Dalam keadaan serba kelam-kabut ini, surat siaran Lembaga Peperiksaan yang bertarikh 20 Mac tahun ini pula memaklumkan bahawa peperiksaan pusat amali sains bagi Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan SPM telah ditangguhkan sehingga tahun 2016.

Walaupun keputusan untuk menangguh ujian amali ini ternyata bijak, sekali lagi kita melihat berlakunya “flip-flop” dalam dasar pendidikan. Persoalannya, bagaimanakah keputusan untuk melaksanakan ujian amali boleh dibuat pada tahun lepas memandangkan banyak lagi sekolah yang belum bersedia dari segi infrastruktur dan juga sumber manusia.

Jelas, terdapat terlalu banyak ketidaktentuan dalam sistem pendidikan kita sehingga murid, guru dan pemeriksa sendiri menghadapi kekeliruan. Dasar pendidikan seharusnya konsisten dan bertujuan untuk membantu meningkatkan prestasi dan produktiviti murid dan guru. Namun dalam kes KBAT dan ujian amali sains, sepertimana dalam dasar PPSMI (Pengajaran dan
Pembelajaran Sain dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) dan PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) sebelumnya, dasar yang dilaksanakan lebih menambahkan beban dan kesukaran.

Oleh itu, saya merayu kepada pihak Kementerian agar murid-murid kita tidak terus dijadikan tikus makmal. Sudah setengah generasi anak kita digadaikan dengan dasar PPSMI yang tidak menjadi, janganlah biarkan ia berlaku lagi.

Pelbagai permasalahan sekitar 1Bestarinet

Tuan yang dipertua,

Ekoran pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2013 yang dibentangkan dalam dewan yang mulia ini pada tahun lepas, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sudah memulakan penyiasatan terhadap projek 1BestariNet yang bernilai RM4.1 bilion dan merangkumi pemasangan jalur lebar berkelajuan tinggi 4G merentasi semua 10,000 sekolah di seluruh negara, serta penyediaan pelantar pembelajaran maya (VLE) ataupun Virtual Learning Environment.

Walaupun diuar-uarkan sebagai satu kejayaan besar yang mampu merubah sistem pendidikan negara, Laporan Ketua Audit Negara jelas membuktikan bahawa projek ini menghadapi pelbagai masalah pelaksanaan, penyelewengan terma kontrak serta perjanjian kontrak yang berat sebelah dan menguntungkan kontraktor YTL Communications Sdn Bhd. Di sini, saya ingin membangkitkan beberapa persoalan yang harus dijawab.

Pertama sekali, mengapakah projek ini dilaksanakan secara sekaligus di seluruh negara? Secara lazimnya, mana-mana perunding IT akan menasihatkan agar sesuatu projek berskala besar yang meliputi 10,000 tapak di setiap pelosok negara dan melibatkan berjuta-juta orang berkepentingan (stakeholders) dari pelbagai latar belakang dan kemahiran, seelok-eloknya dilaksanakan secara berperingkat. Jelas, pelaksanaan 1BestariNet adalah terlalu bercita-cita tinggi dan hakikat ini sudah dibuktikan dalam laporan audit.

Kedua, apabila projek ini dicadangkan empat hingga lima tahun dahulu, Kementerian telah membuka tender untuk penyediaan Internet jalur lebar berkelajuan tinggi bagi semua sekolah di negara kita. Kemudiannya, 19 syarikat telah mengambil bahagian dalam tender tesebut, termasuk syarikat-syarikat telekomunikasi ternama seperti Telekom Malaysia, Time dotCom, Maxis dan Celcom Axiata.

Walaupun berhadapan dengan syarikat-syarikat yang mempunyai jaringan infrastruktur yang jauh lebih luas, YTL yang merupakan syarikat baru dan kecil dalam bidang telekomunikasi pada waktu itu telah memenangi tender tersebut. Menurut laporan berita, YTL telah dianugerahkan projek tersebut berdasarkan penawaran komponen tambahan, iaitu pelantar pembelajaran maya (VLE). Akhirnya, komponen tambahan ini juga mendatangkan kos tambahan berkala sebanyak RM250.5 juta untuk yuran pelesenan dan RM262.8 juta bagi kos pengurusan dan penyelenggaraan setiap 2.5 tahun. Persoalannya, adakah VLE ini termasuk dalam syarat tender asal, dan jika tidak, tidakkah penawaran komponen tambahan ini melanggari syarat tender? Pada masa yang sama, Laporan Ketua Audit Negara juga menyatakan bahawa komponen VLE ini seharusnya dipisahkan daripada pemasangan jalur lebar. Apakah pandangan Kementerian mengenai perkara ini?

Ketiga, saya ingin tahu sama ada kelemahan dan ketidakpatuhan kontrak yang dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara sudah pun ditangani? Umpamanya, hanya 88.9 peratus sekolah telah siap dipasang setakat 12 Jun 2014. Kini, adakah 1BestariNet sudah siap dipasang di semua sekolah?

Laporan Ketua Audit Negara juga mendedahkan kelemahan dalam liputan 1BestariNet. Menurut kontrak, ia seharusnya meliputi seluruh kawasan sekolah, namun audit mendapati bahawa liputan tidak menyeluruh di 58 peratus daripada 501 sekolah yang diselidik. Adakah masalah ini sudah diselesaikan?

Lagi satu masalah yang dibangkitkan adalah kelajuan jalur lebar yang kurang memuaskan dan jauh lebih rendah daripada apa yang ditetapkan dalam kontrak. Apakah status perkara ini?

Keempat, menurut laporan audit, kadar penggunaan sistem VLE adalah sangat rendah. Walaupun hampir 9,000 sekolah sudah siap dipasang dengan 1BestariNet dan setelah beratus juta ringgit dibelanjakan, kurang daripada satu peratus murid menggunakan sistem tersebut. Kini, saya menerima rungutan daripada guru bahawa mereka dipaksa untuk menggunakan sistem VLE agar statistik pendaftaran masuk dapat ditingkatkan. Apakah pandangan Kementerian?

Kelima, pemasangan menara pemancar 1BRIS atau 1BestariNet Receiver Integrated System juga menjadi satu pertikaian. Ini kerana perjanjian asal antara YTL dan Kementerian Pendidikan tidak menetapkan caj sewaan bagi penggunaan tanah sekolah untuk pemasangan menara tersebut, walaupun menara-menara tersebut turut digunakan untuk perkhidmatan komersil YTL YES 4G.

Pun begitu, Kementerian kemudiannya mengenakan sewa token sebanyak RM1,000 setahun bagi setiap tapak, walaupun Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta telah mengesyorkan kadar sewaan sebanyak RM1,200 sebulan. Dengan 3,203 menara pemancar di seluruh negara, kadar sewa murah yang diberi kepada YTL akan mengakibatkan kerugian pendapatan sebanyak RM42.92 juta setahun bagi Kementerian.

Tambahan pula, akibat kecuaian kontrak, semua caj utiliti daripada menara pemancar 1BRIS terpaksa ditanggung oleh Kementerian. Mengikut kiraan saya, kerugian yang dialami oleh Kementerian adalah mungkin mencecah RM7 juta setahun. Apakah Kementerian akan terus membayar subsidi untuk YTL?

Ekoran pusingan pertama penyiasatan PAC tempoh hari, pengerusi PAC sendiri telah menyatakan bahawa pelaksanaan fasa pertama 1BestariNet sudah ternyata gagal. Beliau juga mempersoalkan sama ada projek ini harus diteruskan atau dikaji semula oleh Kementerian. Adakah Kementerian akan mempertimbangkan cadangan PAC?

Pendidikan asas pembangunan

Tuan yang dipertua,

Dalam lawatan ke Jepun baru-baru ini, Menteri Pendidikan I telah dengan bangganya menggelarkan sistem pendidikan kita sebagai contoh yang baik kepada negara-negara lain. Ini kerana, menurut beliau, “sistem pendidikan negara kita telah menghasilkan ramai intelektual dalam semua bidang seperti doktor dan jurutera. Akibat daripada itu, Malaysia sudah hampir
menjadi negara maju.”

Saya tidak menafikan bahawa negara kita telah mengalami pembangunan yang pesat sejak zaman Merdeka. Daripada sebuah negara berpendapatan rendah, kita sudah menjadi negara berpendapatan sederhana. Namun begitu, kita seolah-olah menemui jalan buntu dari segi pembangunan. Menurut Bank Dunia, negara kita kini terjerat dalam perangkap pendapatan sederhana (middle-income trap). Ini bermaksud bahawa walaupun negara kita mencatat pertumbuhan setiap tahun, ia tidak mencukupi untuk mengejar ekonomi-ekonomi maju.

Sementara itu, negara-negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura yang pernah mempunyai KDNK per kapita yang lebih rendah berbanding negara kita 50 tahun lalu, sudah pun mencapai taraf negara berpendapatan tinggi.

Sekiranya kita ingin memajukan negara, kita harus terlebih dahulu mengakui kelemahan kita dan akur bahawa sistem pendidikan kita belum mencapai potensinya. Selagi kita tidak memahami dan memberi keutamaan kepada masalah sebenar, dan selagi kita terus menggubal dasar mengikut kepentingan politik dan bukan kepentingan guru dan murid, selagi itulah negara kita akan kekal dalam kekusutan sekarang.

Sekian, terima kasih.