Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam, indah & misteri

JAMBATAN gantung yang merupakan tarikan utama Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam.
JAMBATAN gantung yang merupakan tarikan utama Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam.

Oleh : YAP LEE YING
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

AGAKNYA nama Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam diambil bersempena dengan lokasinya.

Terletak di Kampung Air Hitam Dalam, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU), hutan paya air tawar ini mampu memberi pengalaman menarik kepada setiap pengunjung yang bertandang.

Nescaya, ramai yang tidak mengetahui destinasi tersebut adalah amat sesuai untuk dikunjungi oleh seisi keluarga.

Ketika Skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara tiba di lokasi, hanya sebuah kereta diletakkan di kawasan parkir. Begitu sunyi sekali.

Berhadapan lokasi rekreasi tersebut adalah bendang-bendang sawah padi yang menghijau. Sejuk sungguh mata memandang.

Apa yang pasti, pada hari berkenaan, tapak-tapak kaki dan perbualan kosong kami memecah kesunyian Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam.

Kami melangkah menuruni anak-anak tangga ke arah sebuah bangunan yang menyerupai pejabat penerangan juga kaunter informasi, namun tiada pegawai yang bertugas, kemungkinan ketika itu adalah waktu rehat.

Tanpa sebarang panduan arah persimpangan yang terlebih dahulu perlu dilalui, kami berjalan mengikut naluri masing-masing melalui jambatan konkrit ke arah sebuah wakaf rehat yang terletak di bahagian tengah taman.

Disebabkan ketika itu adalah musim hujan, semua kawasan dipenuhi air. Apa yang menarik, pelbagai hidupan marin hutan paya air tawar berenang di celah-celah flora-flora seolah bermain sembunyi-sembunyi dengan kami. Tidak sempat lensa kami untuk merakamnya!

Pada aras mata, semuanya nampak hijau dengan spesies flora paya darat seperti pokok putat, ara jangkang dan nipah yang tumbuh liar. Apabila mendongak ke atas, selain kebiruan langit ciptaan Tuhan, penulis terpandang sebuah jambatan gantung yang memanggil-manggil kami untuk merentasi ia.

Tanpa membuang masa dan bertanyakan sesiapa yang gayat, penulis memaksa dua rakan sekerja lain mengambil cabaran tersebut.

Walaupun ketinggian jambatan gantung itu tidak dapat menandingi sebagaimana yang terdapat di Sedim, Kedah, cabarannya tetap ada!

Bagi yang gayat, memang terasa, terutama apabila terdapat pengunjung lain yang berada di bahagian depan dan belakang (jambatan)… yang mana momentum pergerakan memberi impak kepada keseluruhan bahagian jambatan dilalui.

Bagaimanapun, sedikit-sebanyak, perasaan takut itu dapat diatasi apabila terdengar teriakan monyet yang tiba-tiba mencelah, juga bunyi-bunyi serangga dan sekali-sekala bunyi pergerakan hidupan marin di bahagian bawah.

Selain keindahan alam, pada ketinggian 210 meter, penulis dapat memerhatikan telatah dan gelagat sekumpulan kanak-kanak yang sedang memancing di sungai berhampiran. Riuh rendah dan amat menghiburkan!

KEMUDAHAN broadwalk yang melebihi 1,000 meter.
KEMUDAHAN broadwalk yang melebihi 1,000 meter.

Umumnya, Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam adalah meliputi kawasan paya darat seluas kira-kira 11 hektar serta bersempadan dengan dua buah sungai iaitu Sungai Kereh dan Sungai Air Hitam.

Selain jenis flora yang tersenarai, spesies fauna paya darat seperti memerang, monyet, biawak dan pelbagai (spesies) burung juga dapat diperhatikan di dalam kawasan ini.

Sekiranya bernasib baik, pengunjung boleh melihat spesies buaya yang kadang-kadang timbul di sungai berhampiran.

Pada bulan Oktober hingga Jun, taman rekreasi yang berada di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Pulau Pinang dan tidak mengenakan sebarang bayaran kemasukan menjadi tumpuan para pelancong dari dalam serta luar negara terutamanya dalam kalangan para penggemar burung.

Ini kerana, kawasan tersebut merupakan habitat pelbagai spesies burung dan lokasi persinggahan burung hijrah. Sehingga kini, terdapat lebih daripada 150 spesies burung telah dikenalpasti.

WAKAF rehat di tebing sungai.
WAKAF rehat di tebing sungai.

Untuk memudahkan para pengunjung menikmati keindahan panorama alam sambil membuat pemerhatian terhadap spesies-spesies flora dan fauna di sini, kemudahan pelantar pejalan kaki, pondok-pondok rehat, jambatan gantung, pelantar pemandangan, tandas dan dangau disediakan.

Ketika ditanya mengenai peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif memberitahu bahawa MPSP membantu dalam mempromosikan taman rekreasi tersebut sebagai lokasi pelancongan dan sebuah taman pembelajaran botani.

“Pada masa sama, MPSP juga boleh bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri (Pulau Pinang) untuk mewujudkan aktiviti-aktiviti riadah serta rekreasi dan memupuk kesedaran umum terhadap pentingnya ekosistem hijau di Seberang Perai.

“Pada aspek kerja-kerja penaiktarafan, ia perlu dirujuk kepada Jabatan Perhutanan bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Buletin Mutiara baru-baru ini.

Jpeg
Jpeg

Selepas penerokaan hampir sejam, kami merasakan bahawa banyak aspek yang perlu dipertingkatkan bagi ‘memeriahkan’ Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam terutamanya ke arah menobatkan ia sebagai taman pembelajaran botani di negeri ini.

Selain kemudahan infrastruktur, aspek paling penting yang perlu diwujudkan adalah tanda nama dan informasi-informasi lebih terperinci mengenai hidupan flora serta fauna sebagai rujukan para pengunjung di sini.}