Pemaju projek Kampung Manis bakal dipilih Jun ini

Admin
1b961e47 acaf 42aa 957b 7504b43137ce

PERAI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow inginkan projek pembangunan semula Kampung Manis dijalankan pada kadar segera.

 

Menurut beliau, adalah diharapkan pada Jun ini, sekurang-kurangnya pemaju dapat dipilih bagi menjalankan projek yang sangat penting berkaitan kepada penduduk Kampung Manis.

“Pagi tadi, kita dimaklumkan oleh Menteri (Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook) dan Dato’ Azhar Ahmad (Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aset Keretapi, RAC) bahawa pihak-pihak tersebut dalam peringkat akhir penilaian pemilihan pemaju.

“Tetapi, seperti mana-mana projek pembangunan, memanggil tender adalah langkah pertama, seterusnya masih ada banyak proses lagi seperti memilih pembida berjaya, berunding mengenai terma-terma perjanjian, capai persetujuan dalam isi kandungan perjanjian dan disusuli dengan tandatangan perjanjian.

“Setelah ada hak bawah perjanjian, pemaju yang berjaya akan mulakan pemprosesan merancang dan kemukakan pelan-pelan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), sebab kita memang mahu projek pembaharuan bandar ini dapat dijalankan dengan cepat,” ujarnya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai dekat Kampung Manis di sini sebentar tadi.

Hadir sama, mantan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap ADUN Perai selaku tuan rumah, Dato’ S. Sundarajoo; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze; ADUN Bagan Dalam, K. Kumaran dan Azhar.

7b5f8a11 041c 4809 a1ab f24398632576 6c9442c8 cb25 41b2 afed b6fac68bd4e3

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan turut faham akan kemelut penduduk Kampung Manis kerana beliau sendiri dibesarkan di kawasan setinggan.

“Saya sendiri faham keadaan di Kampung Manis ini, saya sendiri pun anak kawasan setinggan, saya hidup 20 tahun lebih sebelum datang menyambung pengajian di USM (Universiti Sains Malaysia), barulah saya tidak perlu lagi duduk di setinggan, tinggal di asrama sebelum teruskan kerjaya politik,” ujarnya.

Kon Yeow dalam pada itu percaya dengan kreadibiliti Azhar yang dikenalinya sejak tahun 2008 itu mampu untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan projek itu yang disasarkan siap pada tahun 2027.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING