Idea ‘rumah ganti rumah selesa’ bukan mustahil – TKM1

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

PANTAI JEREJAK – Empat penduduk asal Kampung Sungai Nibong Tengah di sini bersetuju dengan budibicara pemaju, Seraimas Sdn. Bhd. untuk menerima rumah pangsa kos rendah atas tanah sama di sini serta tunai RM15,000, sungguhpun idea ‘rumah ganti rumah’ itu dianggap mustahil oleh sesetengah pihak.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon selepas majlis menandatangani perjanjian persetujuan (MoA) berwajib memberitahu, pihaknya akan berusaha memudahkan urusan pemaju untuk mendapatkan kebenaran melaksanakan projek di atas tanah tersebut daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sesegera mungkin.

“Langkah ini akan membantu Kerajaan Negeri membuat satugaris panduan supaya hak penduduk asal tidak diabaikan dalam manamana projek pemajuan dengan budi bicara pemaju, tuan tanah serta sikap bertolak ansur penduduk sendiri,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak di Pusat Khidmat Rakyat beliau di sini baru-baru ini.

Wakil perunding pemaju, Mohamed Azhar Abdul Gafoor dan Pengerusi Badan Bertindak Rumah Ganti Rumah Selesa (RAGAS) Zolkifly Md. Lazim turut menyertai majlis perjanjian persetujuan (MoA) membabitkan lima penduduk asal berkenaan.

Penduduk asal terbabit, Mohamed Abdullah M.R.M. Mohd. Rowther, Fandy Sulaiman, Mohamed Mydin Ala Pichay dan Syed Baharin Mohd. Yusoff masing-masing dijanjikan menerima rumah pangsa kos rendah berkeluasan 680 kaki persegi bernilai RM42,000 secara percuma.

Mereka turut menerima RM12,000 kos sewa rumah sepanjang tempoh pemajuan projek itu yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun, selain, RM3,000 kos mengosongkan rumah sedia ada dalam masa dua minggu dari tempoh perjanjian MoA dimeterai bersama.

Difahamkan, penduduk asal lain di Kampung Sungai Nibong Tengah tersebut sebelum ini bersetuju menerima pampasan berupa wang tunai daripada pemaju.

Sebanyak 500 unit rumah, termasuk 65 unit rumah kos rendah (KR) dan 65 unit rumah kos sederhana rendah (KSR) dibina di atas tanah seluas kira-kira empat ekar, milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Mohd. Rashid berkata, pihaknya berharap kerja-kerja pemajuan tersebut dapat siap mengikut jadual, supaya lima penduduk asal dapat kembali menghuni di kampung halaman mereka.

“Kalau boleh, cepat siap ikut jadual supaya mereka ini boleh kembali tinggal (bermastautin) di kampung halaman mereka,” ujar Mohd. Rashid lagi.