Innoplex, 3T mampu penuhi minat pelabur – KM

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Pemajuan terbaru bangunan kompleks berinovasi atau innoplex oleh  Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bernilai RM62 juta di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas dekat kawasan Parlimen Bayan Baru disasar siap dalam tempoh 18 bulan lagi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, penempatan serta operasi tunggal bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) Motorola Solution (Motorola) di bangunan innoplex itu diharap menggamit minat lebih ramai pelabur industri berprestasi tinggi ke negeri ini.

“Untuk mewujudkan pembangunan kreativiti dengan lebih pantas, kita (Kerajaan Negeri) memerlukan ‘3T’, Talent (bakat), Technology dan Tolerance (iaitu) toleransi dengan idea baru dan sikap keterbukaan Kerajaan Negeri dengan keperluan pelaburan hari ini.

“Sasaran projek pemulihan dan peremajaan ini juga adalah untuk menaik taraf taman perindustrian dan perniagaan (Zon Perindustrian Bebas
dekat Bayan Lepas) supaya mencipta lebih banyak (peluang) pelaburan dan pekerjaan berprestasi tinggi,” ujarnya kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Wong Hon Wai (Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam merangkap Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri) turut hadir pada sidang media itu.

Hadir sama, Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar dan Datuk Lee Kah Choon (Penasihat Khas bagi Ketua Menteri merangkap pemangku Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif InvestPenang).

Difahamkan, pemajuan fasa 4 membabitkan projek innoplex tersebut terdiri daripada bangunan tujuh tingkat di atas tanah berkeluasan 8.3 ekar, lengkap dengan 1,200 tapak parkir.

Pemajuan chup innoplex tersebut bertujuan menyatukan operasi dua tapak diduduki Motorola sebelum ini, selain, meningkatkan kecekapan
diperlukan oleh industri antarabangsa tersebut.

Dalam satu perjanjian, PDC bersetuju memberi pajakan tunggal bangunan innoplex tersebut kepada Motorola dalam tempoh 10 tahun dengan sewaan bulanan RM2.15 sekaki persegi untuk keseluruhan 1193,795 kaki persegi, serta kenaikkan sewaan 3 peratus tiap-tiap tahun.

Rosli dalam kenyataannya berkata, kos pemajuan tersebut mampu diperoleh semula dalam tempoh pajakan 10 tahun berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata, beberapa kawasan lain seperti fasa 2 Mayang Mall dan fasa 2 Pusat Pembangunan Kemahiran Osram turut akan dipulih serta diremajakan demi menjadikan kawasan Bayan Baru sebagai bandar perindustrian bersepadu untuk pelaburan strategik serta kreatif.

Itu, katanya, tidak termasuk pemajuan Hab Teknologi Maklumat Penyumberan Luar Proses Perniagaan (IT-BPO) dekat Bayan Lepas dan Penang International Technology Park (PITP) dekat Batu Kawan, yang kedua -duanya bernilai RM11.3 bilion.

Sehingga kini, Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas yang dimajukan sejak 40 tahun lepas berjaya menarik pelabur dan pemilik industri bertaraf dunia, seperti AMD, Hewlett Packard (kini dikenali Agilent), Intel, Osram, Robert Bosch, Clarion dan B Braun.