SPICE siap pertengahan 2016

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: LAW SUUN TING

BAYAN BARU – Pengurus Projek Kumpulan SP Setia Bhd., Ir. A. Anilarasu baru – baru ini memaklumkan bahawa pembangunan Subterranean Penang International Convention and Exhibition Centre (SPICE) kini telah 67 peratus siap di sini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kadar semasa perjalanan projek SPICE kepada Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang melakukan lawatan singkat ke tapak projek berkenaan baru-baru ini.

“Bahagian utama stadium telah siap 100 peratus dan antara yang dinaiktaraf adalah aspek pencahayaan, sistem penghawa dingin, konkos dan hiasan dalaman serta luaran, landskap, parkir dan lantai.

“Sebagai bukti, penganjuranpenganjuran program telah diadakan di sini dari semasa ke semasa,’’ katanya pada sesi lawatan berkenaan di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Anilarasu memberitahu, kolam akuatik kini 9.4 peratus siap berbanding jadual asal yang sepatutnya pada kadar 11.7 peratus.

Kelewatan ini adalah disebabkan kerja perpaipan kolam yang sukar.

“Di hadapan pusat akuatik pula, didirikan pusat komersial berserta kedai makanan, minuman dan pelbagai. Ia kini sudah 24 peratus siap dan ketinggian bumbung kanopi yang didirikan di lokasi akan dihantar kepada pihak Malaysia Book of Record untuk pengiktirafan sebagai kanopi tertinggi di Malaysia.

“Bahagian yang penting iaitu di hadapan pusat konvensyen pula telah 10 peratus siap. Bahagian tersebut agak makan masa kerana membabitkan bahagian bawah tanah yang perlu dijalankan dengan berhati-hati,’’ jelas beliau.

Dalam pada itu, mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa beliau berpuas hati dengan perkembangan dan kemajuan projek SPICE yang dilihat bakal menjadi ikon utama negeri Pulau Pinang kelak.

“Selepas beberapa bulan nanti, saya percaya, kita mampu lihat bentuk pusat konvensyen yang sedang dibina dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa.

“Malah, kita (Pulau Pinang) juga mampu menjadi tarikan dunia selepas ini, terutamanya membabitkan penganjuran acara-acara besar dalam bidang sukan, hiburan, perdagangan serta pelancongan yang secara tidak langsung memberi saingan utama kepada lokasi-lokasi sedia ada seperti Kuala Lumpur, Bangkok (Thailand) dan Singapura,” ujarnya.

Jelas Kon Yeow, fasa terakhir iaitu hotel juga bakal dibina sebaik sahaja projek keseluruhan hampir siap bagi memudahkan pengunjung yang
memerlukan kemudahan penginapan dan juga sebagai pelengkap kepada projek SPICE.

“Pihak pemaju turut menyasarkan SPICE bakal  siap sepenuhnya pada pertengah tahun 2016,’’ kata beliau.