Kerajaan BN jual tanah 35 kali lebih banyak, harga rendah

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Lim Guan Eng menafikan sekeras-kerasnya bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) hanya bergantung kepada hasil penjualan tanah dalam menjana pendapatan dan sumber kewangan negeri ini.

Beliau berkata, ketika era pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum tahun 2008, mereka menjual 35 kali ganda lebih banyak tanah daripada PR, malah dengan harga yang jauh lebih rendah.

“Mujurlah rakyat Pulau Pinang boleh membezakan antara kebenaran dan pembohongan dan menerima hakikat bahawa BN menjual sekurang- kurangnya 3,661 ekar tanah dengan nilai RM1.0586 berbanding PR yang hanya menjual 106.1 ekar untuk pulangan yang lebih tinggi dengan nilai RM 1.1102 bilion.

“Walaupun BN menjual 35 kali ganda lebih banyak tanah daripada PR, tetapi kita (PR) mendapat lebih banyak wang kerana jualan tanah PR dilakukan melalui tender terbuka yang kompetitif,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Tambah Guan Eng, melalui tender terbuka juga, ia telah menjadikan faktor mengapa PR kembali dengan mandat terbesar dalam sejarah Pulau Pinang dengan 68 peratus undi popular pada Pilihanraya Umum Ke-13 tahun 2013.

Rentetan dengan pendapatan RM1.1102 bilion itu juga, Kerajaan Negeri berjaya memperuntukkan RM500 ribu untuk tabung Skim Perumahan Mampu Milik Awam (PAHS) bagi membina lebih daripada 20,000 unit rumah mampu milik di seluruh lima daerah.

“Dana ini merupakan satu peruntukan yang terbesar antara mana-mana Kerajaan Negeri di Malaysia dan kita (Kerajaan Negeri) bersedia menambah peruntukan jika perlu,” jelas beliau.

Dua bidang tanah yang dijual Kerajaan Negeri selepas tahun 2008 adalah di Jalan Zainal Abidin (Taman Manggis) seluas 1.1 ekar bersamaan RM10.2 juta dan Bayan Mutiara, 105 ekar bernilai RM1.1 bilion melalui tender terbuka.