Konvoi imbas sejarah & tokoh Merdeka

Oleh: CHEAH JAY LOON

GEORGE TOWN – Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke-57, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ARC Worldwide Malaysia mengambil inisiatif khas menganjurkan konvoi motosikal berkuasa tinggi di sini baru-baru ini.

Bertemakan, Jelajah Kemerdekaan Semalaysia, konvoi berkenaan bermula di Temerloh, Pahang pada 16 Ogos lalu dan berakhir 10 hari kemudian di ibu negara.

Ketua penganjur, Sazli Ansari berkata, tujuan program tersebut diadakan adalah untuk menjejalajah ke seluruh Semenanjung Malaysia bagi mengimbas kembali sejarah kemerdekaan negara.

“Konvoi ini dapat dijadikan contoh terbaik bagi masyarakat umum terutamanya dalam meningkatkan ilmu pengetahuan masing-masing berhubung sejarah negara dan juga tokoh-tokoh Kemerdekaan,’’ katanya kepada Buletin Mutiara ketika tiba di perkarangan foyer bawah Komtar di sini baru-baru ini.

Turut menyertai beliau adalah kira-kira 10 peserta dengan motosikal berkuasa tinggi masing-masing.