Minat makan char kuetiau dorong Mohd. Radzi hasil perencah sendiri

DIKATAKAN asal masakan etnik Cina, char kuetiau kini kian digemari rakyat Malaysia berbilang kaum khususnya Melayu.

Maka, tak hairanlan MOHD. RADZI HASAN, 48, memilih untuk menghasilkan perencah char kuetiau jenama Perencah Serbaguna D’Yus.

Menurut Mohd. Radzi, perencah yang dihasilkannya turut boleh digunakan untuk memasak nasi goreng, rendang daging dan ayam, sambal tumis sotong, udang dan ikan serta ramuan bakar ikan daging, ayam dan sotong.

“Kawan saya memberitahu, beliau sanggup bayar RM2,000 untuk mendapatkan resepi perencah char kuetiau, tetapi saya hanya bayar beberapa ratus ringgit sahaja untuk belajar.

“Maka terdetik di hati saya, saya pasti akan berjaya jika menghasilkan perencah ini dalam apa cara sekalipun,” ujar Mohd. Radzi pada sesi wawancara bersama-sama wartawan pelatih akhbar Buletin Mutiara, SYARAFANA ALI di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Radzi, perniagaan perencah char kuetiau diusahakan sejak 10 tahun lalu.

Bermula dengan minat terhadap makanan itu, akhirnya terdetik untuk menghasilkan perencah char kuetiau sendiri secara komersial.

PENGALAMAN

10 tahun lalu, sebelum memulakan perniagaan berkaitan, Mohd. Radzi memberitahu bahawa beliau begitu meminati char kuetiau, hatta setiap malam beliau makan makanan ringkas itu.

Daripada situ, katanya, terdetik untuk menghasilkan perencah sajian berkenaan sendiri dengan belajar daripada seorang kenalan berbangsa Cina.

Selain itu, jelas Mohd. Radzi, beliau turut berusaha belajar daripada penjaja char kuetiau berbangsa Melayu serta mendapatkan latihan langsung di agensi kerajaan. “Saya ada minat memasak, mungkin sebab mengalir bakat daripada arwah ayah yang juga tukang masak rumah kenduri.

“Pendekatan trial and error (pendekatan cuba-cuba)…hingga mengambil masa hampir dua tahun, perencah saya tetap tidak menjadi.

“Hinggalah seorang rakan yang berbangsa Cina memberitahu saya bahawa Penang Char Koay Teow bukan pada cilinya, ianya pada perencahnya,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Radzi memberitahu, perencah char kuetiau beliau asalnya dibungkuskan dalam cawan dadih, padanlah dengan modal awal sekecil RM300 sahaja, serta dipasarkan kepada kawan-kawan terdekat sahaja.

Selepas itu, beliau mengambil peluang untuk belajar menghasilkan resepinya sendiri di beberapa agensi kerajaan mengenai teknik pemasaran dan perniagaan.

“Sampai berkampung selama seminggu di MARDI Serdang, Selangor dalam kursus pemprosesan makanan.

“Akhirnya, setelah empat tahun membuatnya, barulah perencah ‘menjadi’,” selorohnya.

Hasilnya, Mohd. Radzi pernah memenangi tempat ke-2 anugerah Produk Terbaik (produk baru pemprosesan) pada penganjuran Pameran Pertanian, Hortilkultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2006 dan Anugerah Usahawan Cemerlang Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

CABARAN

Jelas Mohd. Radzi, kejayaan yang pernah dikecapi beliau, antaranya adalah berkat sokongan tidak berbelah-bahagi daripada isteri, Yusnita Yahaya.

Selepas empat tahun, Perencah Serbaguna D’Yus berkembang dalam pasaran, isterinya lumpuh dan kesannya, empat lot kedainya terpaksa ditutup atas pelbagai sebab. Pun begitu, Mohd. Radzi memberitahu, beliau cuba bangkit dengan sokongan kawan-kawan serta seorang usahawan. “Setiap usahawan perlu ada jati diri, motivasi sendiri.

“Setiap hari bangun, mesti ada motivasi sendiri untuk bangun dan lakukan tanggungjawab… tidak ada perniagaan tanpa pemasaran.

“Tidak ada kejayaan bagi seorang yang takut akan kegagalan…kalau takut, pasti tidak akan berjaya.

“Setiap hari, saya akan tanam sikap positif di dalam minda saya, bahawa saya pasti akan berjaya,” ujarnya sambil memberitahu bahawa projek keusahawanannya itu kembali dipulihkan.

HARAPAN

Mohd. Radzi berharap produknya mampu berada dalam pasaran industri halal di negeri ini.

Justeru, beliau berharap Kerajaan Negeri hari ini serta agensi-agensi kerajaan berwajib dapat memberi khidmat nasihat dan sokongan supaya Perencah Serbaguna D’Yus terus berkembang dalam pasaran industri halal serantau.

“Usahawan yang menghasilkan produk halal dalam pasaran pun sebenarnya adalah suatu jihad ekonomi.

“Sangat besar harapan Perencah Serbaguna D’Yus ini sekiranya diberi peluang untuk menjadi sebahagian produk dalam industri halal yang sedang dikembangkan oleh Kerajaan Negeri hari ini,” jelasnya. INFO: No. Tel. : 019 – 521 4506/ 014 – 244 1176.

Ralat Pengarang: MERUJUK kepada penerbitan Buletin Mutiara edisi 1–15 September 2016, artikel bertajuk, KN perketat polisi ‘Tiada Beg Plastik Percuma’. Perenggan pertama sepatutnya berbunyi seperti di bawah dan bukannya sebagaimana dicetak. SEBERANG PERAI – Kerajaan Negeri bakal memperketatkan undangundang pelaksanaan polisi ‘Tiada Beg Plastik Percuma’ di negeri ini. Segala kesulitan adalah adalah amat dikesali. Sekian, terima kasih.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);