MPPP tuan rumah Forum TPO ke-5

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 68 Datuk Bandar dan wakil-wakil delegasi dari 32 organisasi bukan kerajaan (NGO) bakal membanjiri bandar ini ekoran pemilihan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dalam penganjuran 5th Tourism Promotion Organization For Asia Pacific Cities (TPO) pada 17 hingga 20 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Lalulintas dan Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow ketika satu sidang medianya berkata, MPPP adalah antara empat pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam negara yang terpilih sebagai anggota TPO.

“Kita (MPPP) amat bertuah kerana terpilih di antara 68 kerajaan tempatan bagi menganjurkan acara gilang-gemilang ini.

“Melalui penganjuran tersebut, ia secara tidak langsung membolehkan masyarakat luar lebih mengenali negeri Pulau Pinang,’’ katanya di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi ,Yang Dipertua MPPP, Ar. Patahiyah Ismail dan Pengarah Jabatan Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa, Mohamed Akbar Mustapha.

Menurut Kon Yeow, TPO diwujudkan untuk menjalin jaringan antara bandar terkemuka di Asia Pasifik dan organisasi antarabangsa bagi mempromosikan pelancongan.

“Ia adalah pusat pemasaran, perkongsian maklumat dan komunikasi di antara bandar anggota untuk membincangkan isu-isu semasa yang penting dalam industri pelancongan.

“Selain itu, mereka (Datuk Bandar) juga dapat berkongsi pengetahuan, pengalaman serta tahap perkhidmatan dalam menjaga industri pelancongan di bandar-bandar anggota,” jelas beliau.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng bakal menyempurnakan majlis perasmian acara gilang-gemilang berkenaan di Rasa Sayang Hotel, Batu Feringhi.

Antara aktiviti yang bakal diadakan adalah Majlis Makan Malam Gala, penubuhan dan lawatan Taman Persahabatan, pelepasan penyu di Golden Sands Beach Resort dan menjelajahi Georgetown World Heritage dengan menaiki beca.