Perancangan pelaburan RM30 juta First Solar di P. Pinang

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI


GEORGE TOWN – Peneraju global dalam photovoltaic (PV) tenaga solar dan panel suria, First Solar Sdn. Bhd. (First Solar) membuka Pusat Perkhidmatan Perkongsian Global di sini baru-baru ini dengan perancangan pelaburan bernilai RM30 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Menteri,  Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Perkongsian First Solar di Gurney Paragon berkeluasan 10,000 kaki persegi serta 100 kakitangan di sini.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, pelaburan First Solar adalah sejajar dengan visi Kerajaan Negeri untuk muncul sebagai hab utama pentadbiran dan pengurusan bagi Perkhidmatan Perkongsian Sumber Luar (SSO) dalam melaksanakan operasi seperti sumber manusia, perolehan, pemprosesan data, urusniaga kredit, kewangan, perakaunan, serta teknologi maklumat.

“Oleh itu Kerajaan Negeri turut memperuntukkan tanah seluas tujuk hektar beserta 1.7 juta kaki persegi pejabat di Bayan Baru dan Bayan Lepas di sini bagi membangunkan Hab Penyumberan luar Proses Perniagaan (BPO) sebanyak dua fasa dalam tempoh lima tahun dari sekarang,” jelasnya pada Majlis Perasmian Pejabat SSO First Solar di sini baru-baru ini.

Setakat tahun ini, pekerjaan berteraskan BPO  telah memberikan sebanyak 7,000 peluang pekerjaan kepada penduduk Pulau Pinang.

Selain First Solar, syarikat lain seperti  Citigroup Transaction Service Group, Wilmar  GBS Sdn. Bhd. dan Air Asia turut menjalankan  perniagaan sama di negeri ini.

Bagi perkhidmatan pembuatan, First Solar  turut memiliki kilangnya sendiri bertempat di Taman Perindustrian Hi-Tech, Kulim, Kedah.