Kejohanan skuasy dunia tawar hadiah US$ 120,000

Admin

 

 

Oleh :WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

KUALA LUMPUR – Syarikat perbankan, CIMB Group (CIMB) baru-baru ini secara rasminya diumumkan sebagai penaja utama Kejohanan Squasy Wanita Dunia ke-29 yang berlangsung di Subterranean Penang International Conference and Exibition (SPICE), Bayan Baru, Pulau Pinang bermula 15 hingga 23 Mac ini.

 

Lanjutan itu, satu perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani antara pihak CIMB diwakili Ketua Bahagian Pemasaran dan Pegawai Komunikasinya, Effendy Shahul Hamid dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng sambil disaksikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

 

Menurut Guan Eng, pihaknya berasa amat teruja untuk melihat kejohanan tersebut berlangsung di Pulau Pinang setelah pertandingan itu ‘berehat seketika’ pada tahun lalu atas sebab-sebab tertentu.

 

“Negara kita sememangnya sudah terkenal sebagai hos pelbagai sukan besar bertaraf antarabangsa dan kejohanan skuasy pada kali ini dilihat sebagai satu lagi tambahan dalam mempromosikan Malaysia pada kalendar Melawat Malaysia 2014.

 

“Pulau Pinang juga merupakan sebuah negeri yang lengkap dari segi kemudahan dan cukup bersedia untuk menganjurkan acara bertaraf dunia seperti ini.

 

“Malah, kejohanan ini juga bakal memberi peluang yang cerah kepada Nicol untuk mempertahankan gelaran beliau di kampung halamannya,” ujarnya pada sesi sidang media di sini baru-baru ini.

 

Mengulas lanjut mengenai penajaan berkenaan, Effendy Shahul menyatakan keterujaan beliau, malah menyifatkan CIMB bukan sesuatu yang asing dalam dunia skuasy.

 

“Sejak tahun 2005, kami (CIMB) sudah menjalin hubungan erat bersama Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

 

“Kami juga terlibat dalam pelbagai pembangunan remaja untuk semua kebanyakan sukan di samping menjadi penaja kepada Nicol dalam beberapa kejohanan sebelum ini,” jelasnya.

 

Mengulas lanjut, Effendy Shahul memberitahu bahawa CIMB turut menyusun beberapa acara di Pulau Pinang sepanjang berlangsungnya kejohanan tersebut bagi menghangatkan lagi penganjuran menawarkan hadiah lumayan berjumlah US$ 120,000 itu.