PPK seru umum bersama bantu 4 beradik kehilangan ayah, ibu

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAYAN LEPAS – Kisah empat kanakkanak yang menjadi yatim piatu dalam sekelip mata setelah ibu mereka, Shahrul Faiza Mukhtar, 30, meninggal dunia akibat kanser payudara memperoleh perhatian Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz di sini baru-baru ini.

Allahyarhamah Shahrul Faiza pergi mengadap Ilahi setelah menderita kanser payudara tahap empat pada 5 April lalu.

Sebelum itu, tahun lalu, keluarga tersebut dikejutkan dengan berita sedih apabila ayah tercinta, Allahyarham Mohd. Idham Mohd. Idris, 38, maut dalam kemalangan di Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU).

Azrul Mahathir ketika ditemui berkata, keempat-empat kanak-kanak terbabit, Siti Nur Nadhirah Mohd. Idham, 12, Muhammad Khairul Ikhwan Mohd. Idham, 10, Muhammad Fitri Ramadhan Mohd. Idham, 2, dan Siti Nuramni Hawani Mohd. Idham, 3, kini dijaga ibu saudara mereka, Nur Emi Mashitah Mukhtar, 36.

“Selain menerima sumbangan wang tunai, keluarga tersebut turut menerima bantuan persekolahan daripada beberapa pihak yang turut prihatin dengan keadaan keluarga tersebut.

“Dalam pada itu, orang ramai juga boleh membantu dengan menyalurkan lain-lain bantuan bagi meringankan bebanan mereka,” katanya pada majlis sumbangan khas di sini baru-baru ini.

Turut dianjurkan adalah program gotongroyong hasil kerjasama bersama-sama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Bayan Lepas. Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MBPP, Mohamed Yusoff Mohamed Noor, Saiful Azwan, Goh Choon Keong dan Mhd. Nasir Yahya, serta wakil-wakil pempamer korporat dan penduduk setempat.

Dalam pada itu, Buletin Mutiara sempat menemubual Nur Emi Mashitah yang mempunyai dua orang cahaya mata dan bekerja sebagai penyelia di salah sebuah kilang di sini.

“Terima kasih sangat kepada yang sudi menyampaikan bantuan, dan alhamdulillah, (semuanya) rezeki budak-budak ini untuk meneruskan kehidupan.

“Tanggungjawab untuk menjaga mereka adalah hasil persetujuan adik-beradik yang lain termasuk saudara mara, nenek dan datuk di Sungai Petani, Kedah.

“Tapi buat masa ini, memang saya yang jaga sebab datuk dan nenek pun dah tua, mesti tak daya nak jaga kesemua mereka,” katanya yang tidak sanggup memisahkan empat adik-beradik itu.

Orang ramai yang berhasrat menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Nur Emi Mashitah di talian 013 – 490 2998 atau salurkan terus ke akaun Maybank, 1571 3976 9225.

Pada majlis sama, Zakat Pulau Pinang (ZPP) turut menyampaikan sebuah kerusi roda kepada seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU), Muhammad Ridwan Hakimi Hasnizan, 11.

} else {