Pelajar cemerlang PT3 & SPM DUN Seberang Jaya dirai

Admin

SEBERANG JAYA – Seramai 36 pelajar sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya diraikan dalam Majlis Penghargaan Pelajar Cemerlang PT3 & SPM 2015 di sini baru-baru ini.

Mereka merupakan pelajar cemerlang terpilih yang bersekolah dan menetap dalam DUN Seberang Jaya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata, majlis keraian tersebut adalah sebagai penghargaan kepada para pelajar yang bertungkus lumus mengulangkaji serta mendapat keputusan cemerlang di sekolah masing-masing.

“Sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang sentiasa menfokus untuk melahirkan sumber manusia yang berkualiti, penghargaan seumpama ini diharap menjadi pencetus untuk seseorang pelajar terus mencapai kecemerlangan bukan sahaja dalam peperiksaan, malah kehidupan,” katanya yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan pada majlis berkaitan.

Dalam pada itu, Afif turut menyuarakan hasrat Kerajaan Negeri yang sentiasa berharap agar para pelajar cemerlang untuk kembali berkhidmat di Pulau Pinang.

“Memandangkan negeri ini hanya bergantung kepada sumber manusia dan bukannya sumber alam, suka saya ingatkan agar para pelajar semua dapat kembali berkhidmat di negeri ini setelah tamat pengajian kelak,” ujar beliau.

Selain menerima sijil penghargaan, semua pelajar yang diraikan turut menerima insentif wang tunai sebagai persiapan melanjutkan pelajaran masing-masing. Daripada 37 pelajar, 10 penerima merupakan pelajar cemerlang Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan 26 pelajar lain adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Turut diraikan, Nadia Mansor dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Permatang Rawa yang mewakili negara ke Paris, Perancis dalam bidang seni sulaman kategori khas orang kurang upaya (OKU) baru-baru ini.

}