Salah guna masjid untuk politik kepartian, Exco adakan perbincangan tindakan lanjut

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memandang serius isu penyalahgunaan masjid untuk tujuan politik kepartian, lebih-lebih lagi yang menabur tohmahan dan mengadu domba isu perkauman serta agama.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dalam pada itu turut memberi amaran kepada pentadbir masjid di seluruh negeri ini agar tidak menyalahgunakan institusi agama untuk tujuan tersebut.

Beliau menegaskan, tindakan tegas akan diambil bukan sahaja kepada pentadbir masjid, malah kepada penceramah atau khatib yang menyalahgunakan medan kuliah atau mimbar masjid.

“Selama ini, Kerajaan Negeri bersikap terbuka dalam program pengimarahan masjid dan kuliah ilmu, namun terdapat segelintir pihak telah mengambil kesempatan atas sikap keterbukaan ini.

“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri) telah mengambil pendekatan nasihat dan memberikan surat tunjuk sebab kepada beberapa individu terlibat.

“Kerajaan Negeri juga sedang memantau beberapa individu yang dikenal pasti untuk dikenakan tindakan sama ada kita akan menarik semula tauliah mereka atau tidak membenarkan mereka mengajar lagi di negeri ini,” tegasnya ketika ditemui Buletin Mutiara (BM) di sini baru-baru ini.

Ditanya sama ada Kerajaan Negeri akan memperketatkan lagi garis panduan penggunaan masjid dan surau di negeri ini, Abdul Malik menyatakan bahawa garis panduan yang sedia ada telahpun memadai.

“Garis panduan yang ada sekarang sudah jelas bahawa kita tidak membenarkan untuk berpolitik di masjid, penyampaian ceramah dan khutbat mestilah mengikut garis panduan ditetapkan.

“Kita juga akan perketatkan pengawasan dan tindakan kerana selama ini kita terbuka, tetapi nampaknya ia telah disalahgunakan,” jelasnya yang bercadang untuk mengadakan pertemuan bersama-sama pegawai-pegawai agama daerah dan bahagian penguatkuasaan bagi membincangkan isu-isu berkaitan.


Kategori: Bahasa Malaysia, Semasa

Comments are closed.



Artikel Terkini

Like Our Facebook Page

Muat Turun Buletin Mutiara

Twitter

Buletin Mutiara Videos

Komen Terkini

  1. Program tersebut telah lama diadakan sej... in ADUN komited teruskan program gunting rambut percuma
    on September 9, 2015
  2. Saya ingin tahu rumah terbuka di seluruh... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on August 3, 2015
  3. 1 Ogos 2015 - Ahli Parlimen Bukit Bender... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015
  4. Salam hormat, Berikut adalah senarai y... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015

Archives