Longgar syarat layak mohon pinjaman perumahan BNM mungkin boleh dilaksanakan – KM

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

BAGAN JERMAL – Jika Pakatan Harapan (PH) berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini, barulah dasar kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) seperti melonggarkan syarat kelayakan permohonan pinjaman perumahan bank boleh dipertimbang untuk dilaksanakan kelak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian ketika mengulas isu kadar penolakan permohonan pinjaman perumahan oleh pihak bank yang terlalu tinggi kini, iaitu lebih 60 peratus.

“Yang penting untuk pembeli pertama (yang ditawarkan unit kediaman oleh Kerajaan Negeri), longgarkan syarat (kelayakan) pinjaman bank untuk mereka memiliki rumah sendiri…Bank Negara harus bantu.

“Sungguhpun kita (Pakatan Harapan) sudah banyak kali meminta BNM longgarkan syarat pinjaman (perumahan) ini, tetapi tiada tindakan diambil.

“Kalau Bank Negara tidak betulkan (longgarkan syarat kelayakan memohon pinjaman perumahan bank), kita kena ‘ubah’ supaya kita boleh ubah dasar Bank Negara,” jelasnya pada Majlis Menandatangani Surat Perjanjian Jual Beli Antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Pembeli-Pembeli Rumah Mampu Milik Jiran Residensi Kampung Jawa di sini 23 Februari lalu.

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco P e r a n c a n g a n B a n d a r & D e s a d a n Perumahan, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng yang juga ADUN Bagan Jermal; Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu); Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar serta Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Guan Eng memberitahu, RM121.4 juta projek Jiran Residensi Kampung Jawa yang dilaksanakan melalui PDC itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, projek itu mula dilaksanakan pada 17 November 2014, tahap perkembangan ketika ini mencapai 92 peratus dan dijangka siap pada Jun ini.

Difahamkan, projek tersebut terdiri oleh 204 unit rumah pangsa kos sederhana rendah (KSR) berkeluasan lantai 1,000 kaki persegi dengan harga seunit RM250,000; 150 unit KSR berkeluasan lantai 850 kaki persegi dengan harga seunit RM200,000 dan 353 unit KSR berkeluasan lantai 700 kaki persegi dengan harga seunit RM72,500.

Sebelum itu, Jagdeep menyatakan bahawa beliau telahpun menulis surat kepada Gabenor Bank Negara merayu supaya syarat kelayakan permohonan pinjaman perumahan dapat dilonggarkan demi memastikan lebih ramai rakyat dapat memiliki unit kediaman RMM pertama mereka.

Sebagai contoh, katanya, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC) telah menawarkan unit-unit RMM di Bandar Cassia dekat Batu Kawan kepada 1,065 pemohon yang layak.

“Namun, hanya 30 peratus atau 320 pemohon sahaja berjaya mendapat pinjaman disebabkan syarat kelayakan pinjaman perumahan bank sedia ada adalah terlalu ketat,” ujar Jagdeep.