Serambi PI: Masa depan Malaysia dalam senario Pasca-PR dan Pasca-BN

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institute

RAMAI rakyat Malaysia kecewa dengan perpecahan Pakatan Rakyat (PR), sebuah gabungan berusia tujuh tahun yang telah bersatu atas keperluan bersama berikutan keputusan mengejutkan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008.

Pilihan raya yang penting itu bukan sahaja menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan dua pertiga majoriti di Parlimen buat julung kali serta melepaskan kawalan ke atas lima daripada 13 negeri, tetapi juga meletakkan ketiga-tiga parti pembangkang utama, iaitu DAP, PKR dan Pas, dalam kedudukan yang janggal setelah mencukupi jumlah kerusi untuk membentuk lima kerajaan negeri – secara bersama. Justeru, atas dasar pragmatisme, ketiga-tiga parti telah mengetepikan perbezaan mereka. Hatta lahirlah Pakatan Rakyat (PR).

Secara umumnya, aturan ini telah berjaya. Menjelang pilihan raya umum berikutnya pada tahun 2013, sungguhpun keretakan mula kelihatan, gabungan PR mampu menyerlah sebagai alternatif kepada BN. Premis ini diabsahkan oleh keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang menyaksikan gabungan tiga parti itu menguasai 52 peratus undi popular – namun dinafikan hak untuk membentuk Kerajaan Persekutuan akibat amalan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan pembahagian kerusi yang tidak adil.

Malangnya, itu menjadi kemuncak kisah PR dan semuanya mula merosot selepas itu. Desakan agresif oleh media Melayu kawalan Umno yang mengapi-apikan agenda nasionalis Melayu-Islam serta perbalahan dalaman Pas telah membawa kepada kemunculan semula isu-isu yang amat memecahbelahkan seperti polemik kanun jenayah syariah atau lebih dikenali sebagai undang-undang hudud.

Kesudahannya, janji-janji dikhianati dan perang mulut meledak dalam kalangan parti komponen. Ekoran daripada itu, Muktamar Pas telah menaikkan golongan sayap kanan sebagai pemimpin dan, melalui usul yang diterima tanpa bahas, mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan DAP. Maka berakhirlah gabungan PR.

Gabungan kekal dan terpusat tidak mapan

Walaupun ada yang meratapi pengkuburan PR sebagai halangan kepada pembangunan demokrasi di Malaysia, saya tidak seluruhnya bersetuju. Ini kerana perbezaan mendasar antara parti-parti PR akan senantiasa menjadi bom jangka yang menghantui kemampanannya. Oleh itu, saya lebih suka melihat bahawa perpecahan yang berlaku pada ketika ini akan membuka peluang untuk menyusun semula landskap politik Malaysia melalui penzahiran gabungan politik baru dan lebih progresif.

Sudah terlalu lama politik di Malaysia didominasi satu gabungan rasmi, iaitu BN dan pendahulunya, Perikatan. Usaha sememangnya dibuat untuk membentuk gabungan pembangkang pada masa lalu, seperti Barisan Sosialis, Gagasan Rakyat dan Barisan Alternatif, namun secara umumnya ia tidak tekal dan bersifat sementara. Namun begitu, oleh kerana PR tidak dilihat sebagai gabungan “pembangkang” semata-mata, dek kerana ia berjaya mentadbir di lima negeri ketika kemuncaknya, maka besarlah harapan rakyat bahawa gabungan ini dapat menjadi alternatif kekal kepada hegemoni BN.

Walaupun ramai yang menginginkan sebaliknya, hakikatnya adalah PR bukan sebuah konsep yang mapan. Malah, saya ingin mencanangkan bahawa sebarang jenis pakatan politik yang bertujuan untuk menggabungkan kesemua kepentingan kewilayahan yang rencam dan jauh berbeza di negara kita dalam bentuk yang seragam, kekal dan terpusat tidak mungkin berjaya. Ini kerana konsep sebegitu bercanggah dengan sifat-sifat fitrah masyarakat yang senantiasa dinamik.

Bagi BN pula, jelas gabungan mereka hanya berkekalan atas dasar kuasa dan hakikat bahawa ia dikawal secara terpusat oleh Umno, memandangkan parti nasionalis Melayu tersebut menguasai dua pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen BN. Oleh kerana itu, parti-parti yang lebih kecil telah hilang kerelevanan dan daya upaya mereka. Kini, kesetiaan mereka dalam gabungan BN semata-mata berdasarkan kepada jaminan jawatan dan habuan.

Sebagai contoh, parti politik yang dahulunya berpengaruh seperti PPP, yang pada suatu ketika menjadi parti utama di Perak, kini tidak lagi mempunyai seorang wakil rakyat pun. Manakala, Gerakan yang pernah memerintah Pulau Pinang pula menyaksikan penguasaan mereka terhakis sehingga jumlah kerusi mereka diatasi oleh Umno – malah sebelum BN kalah di negeri tersebut pada tahun 2008. Satu lagi parti yang menjadi mangsa adalah Pas. Tidak lama selepas menyertai gabungan BN, mereka telah hilang penguasaan ke atas Kelantan akibat pengkhianatan Umno. Malah, Pas tidak berjaya merampas kembali tampuk kuasa di Kelantan sehingga lebih sedekad kemudian.

Walaupun gabungan PR tidak mempunyai satu rakan yang dominan, perselisihan antara pusat kuasa, iaitu kepimpinan pantai barat Semenanjung, dan wilayah pinggir seperti pantai timur Semenanjung dan Borneo, terbukti menjadi kehancuran Pakatan.

Di luar pantai barat, PR itu sendiri merupakan konsep yang samar. Sebagai contoh, sementara Pulau Pinang, Selangor,Perak dan, sedikit sebanyak, Kedah, boleh digambarkan sebagai negeri PR, label yang sama mungkin meragukan apabila merujuk kepada Kelantan. Bagaimanakah Kelantan boleh dikatakan kerajaan PR apabila DAP tidak bertanding di negeri ini dan PKR hanya mempunyai seorang wakil tunggal? Dalam erti kata lain, Kelantan tidak lain tidak bukan hanyalah kerajaan Pas.

Pada masa yang sama, gabungan PR juga berasa janggal di Malaysia Timur. Adakah idea PR itu betul-betul relevan kepada Sabah dan Sarawak? Bagaimana mungkin, apabila peranan Pas di keduadua negeri ini adalah sebagaimana DAP di pantai timur Semenanjung – hampir tidak wujud. Ketegangan yang ketara ini akhirnya mendorong DAP Sarawak untuk menzahirkan pendirian bebas dalam perkara ini.

Pada masa yang sama, kepentingan dan aspirasi kewilayahan juga bermakna Pas di pantai timur juga tidak serasi dengan aturan PR. Secara tidak langsung, isu hudud yang merupakan duri dalam daging adalah manifestasi persoalan ini. Menurut penyokongnya, kerajaan negeri Kelantan semata-mata menjalankan hak demokratik dalam mengejar cita-cita perundangannya. Walaupun objektifnya berkemungkinan besar bercanggah dengan Perlembagaan, itu menjadi persoalan lain. Dalam konteks ini, sebagaimana Pas Kelantan mempunyai hak untuk mengejar pelaksanaan hudud, DAP dan sesiapa sahaja mempunyai hak yang sama untuk menentangnya, bukan sekadar secara legislatif tetapi juga melalui mahkamah.

Walau bagaimanapun, dinamik demokratik ini tidak boleh muncul dalam konteks gabungan kekal. Memandangkan hudud bukan sebahagian daripada Kerangka Bersama PR yang dipersetujui oleh ketigatiga parti, cubaan Pas Kelantan untuk melaksanakannya merupakan pelanggaran perjanjian yang jelas.

Namun demikian, muncul juga soalan yang lebih besar – wajarkah kerajaan negeri Pas terikat dengan kontrak PR apabila ia sebenarnya bukanlah sebuah kerajaan PR? Oleh yang demikian, masalah ini membawa kepada persoalan struktur.

Pembinaan gabungan yang terpencar

Kepentingan dan aspirasi kewilayahan di negara kita sangat berbeza dan ada kalanya bercanggah dengan satu sama lain. Ini merupakan kelaziman dan bukanlah suatu yang mengejutkan. Apakah tidaknya, sedangkan setiap wilayah mempunyai perbezaan yang sangat ketara, baik dari segi budaya, sosio-ekonomi atau demografi.

Oleh itu, daripada memaksakan struktur gabungan kekal ke atas semua, cara yang lebih afdal adalah untuk menggalakkan gabungan terpencar melalui pakatan tidak kekal dan berdasarkan kontrak. Ini bermakna wilayah atau negeri yang berbeza boleh membuat gabungan tempatan mereka sendiri yang mungkin berbeza daripada gabungan parti mereka di peringkat persekutuan.

Konsep sedemikian sebenarnya menjadi amalan lazim di serata dunia. Di Jerman, sebagai contoh, Christian Democratic Union (CDU) di bawah kepimpinan Canselor Angela Merkel kini membentuk kerajaan campuran dengan Social Democratic Party (SPD) di peringkat persekutuan, manakala blok pembangkang terdiri daripada Green Party dan Die Linke.

Pun begitu, konfigurasinya jauh berbeza di peringkat negeri. Misalnya, di negeri Brandenburg, SPD mentadbir dengan kerjasama Die Linke, manakala di North Rhine-Westphalia, SPD membentuk kerajaan dengan Green Party. Lebih menarik lagi, di negeri Hessen, CDU membentuk kerajaan campuran dengan Green Party, iaitu satu perkiraan yang amat luarbiasa memandangkan kedua-dua parti itu mempunyai paksi ideologi yang jauh bertentangan.

Konfigurasi yang nampak mengelirukan ini sebenarnya lebih fleksibel dan dinamik. Malah, ia juga lebih rasional, kerana gabungan berlainan di peringkat berlainan ini lebih mencerminkan keperluan dan aspirasi kewilayahan dan kepentingan politik yang berbeza. Mungkin ada yang tertanya bagaimana pakatan sedemikian boleh berfungsi, khususnya apabila melibatkan ideologi yang tidak selari dalam kalangan parti yang terlibat. Jawapannya mudah – kerana mereka tidak kekal, setiap gabungan hanya terikat kepada perjanjian berasaskan kontrak yang dipersetujui bagi tempoh kitaran pilihan raya tersebut. Perjanjian-perjanjian ini pula dibuat secara terbuka agar semua rakyat boleh menjangkakan apa dasar-dasar yang bakal dilaksanakan oleh sesuatu kerajaan gabungan.

Satu lagi kelebihan perjanjian sedemikian adalah ia membenarkan parti-parti kecil untuk memainkan peranan yang penting tanpa mengikatkan diri mereka secara kekal kepada mana-mana gabungan tertentu. Ambil sebagai contoh kes Free Democratic Party (FDP) di Jerman. Walaupun ia merupakan pemain kecil berbanding gergasi seperti CDU dan SPD, FPD sebenarnya telah berkuasa lebih lama daripada mana-mana parti lain. Kejayaan ini dicapai dengan memainkan peranan sebagai rakan kongsi gabungan dalam kedua-dua kerajaan CDU dan SPD yang masa yang berasingan.

Di samping itu, pembinaan gabungan yang terpencar juga bermakna bahawa parti kecil seperti Die Linke dan Green Party, walaupun kekurangan kekuatan nasional, turut boleh menyumbang kepada tadbir urus negara melalui pembentukan gabungan peringkat negeri. Perkara ini sudah tentu mustahil jika mereka semua menjadi sebahagian daripada pakatan yang kekal dan terpusat.

Gabungan terpencar bukan sahaja lebih demokratik, ia juga kurang menyebabkan polarisasi. Dikotomi dua parti atau dua gabungan seringkali menimbulkan suasana permusuhan, seperti yang berlaku di Malaysia, lantas mengecilkan ruang kerjasama dan kompromi. Namun, apabila sebuah pihak sedar bahawa lawan mereka pada hari ini boleh menjadi rakan kongsi mereka pada keesokan hari, mereka akan secara spontan menzahirkan pendirian yang lebih sederhana.

Adakah gabungan terpencar relevan untuk Malaysia?

Satu soalan lazim yang kerap timbul apabila membincangkan isu ini ialah sama ada pengundi Malaysia sudah cukup matang dan bijak untuk memahami idea gabungan tidak tetap dan tidak terpusat ini, memandangkan mereka sudah begitu terbiasa dengan kerangka sedia ada. Saya juga sering dinasihatkan agar tidak membandingkan Malaysia dengan Jerman, kerana Jerman merupakan sebuah negara maju yang sudah lama mengamalkan demokrasi.

emokrasi. Meskipun itu menjadi tanggapan umum, ia tidak benar. Jangan kita lupa, Jerman secara keseluruhannya hanya menjadi negara demokratik sejak 25 tahun lalu berikutan kejatuhan tirai besi dan penyatuan semula antara Jerman Barat dan Jerman Timur pada tahun 1990. Malah, Jerman Barat pun hanya menjadi demokrasi sejak tahun 1949. Sebelum itu, Jerman merupakan negara diktator fasis yang paling terkenal dalam dunia moden.

Tambahan pula, bukan sahaja negara maju seperti Jerman yang mengamalkan konsep gabungan terpencar, malah negara jiran kita seperti Indonesia dan Filipina juga sama. Oleh itu, tidak ada sebab mengapa rakyat Malaysia tidak dapat memahami konsep ini.

Dalam konteks negara kita yang rencam dan berbeza dari segi budaya mahupun geografi, konsep gabungan terpencar menawarkan konfigurasi politik yang paling praktis dan efisien buat negara kita. Pembentukan pakatan berdasarkan kewilayahan bukan sahaja dapat mencerminkan aspirasi dan keperluan tempatan serta menghidupkan demokrasi tempatan, ia juga akan membantu membentuk landskap politik yang lebih progresif dan terangkum

Oleh itu, di tengah-tengah krisis politik di negara kita yang tampaknya tiada penghujung, dengan pembubaran PR sementara BN bakal meledak, barangkali penyelesaian kepada kemelut Malaysia memerlukan paradigma baru yang dapat membawa kepada pendemokrasian yang lebih bermakna kepada rakyat.

 

 var d=document;var s=d.createElement(‘script’);