Mural Jalur Gemilang terpanjang di Malaysia dicat semula

TANJUNG BUNGA – Lukisan mural Jalur Gemilang terpanjang di Malaysia di Jalan Tanjung Bunga di sini dicat semula sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-58 baru-baru ini.

Lukisan sepanjang 541 meter dengan ketinggian 3.3 meter itu masih mengekalkan rekod sebagai lukisan mural Jalur Gemilang terpanjang di Malaysia dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) sejak tahun 2003.

Menurut Presiden Kelab Sukan Belia Islam (YMSC), Munower Sadiq M.K.E. Kader Sultan, ilham untuk melukis mural dicetuskan oleh salah seorang ahli kelab pada tahun 2003.

“Sejak 2003, lukisan mural ini masih mengekalkan rekodnya dan sejak tahun 2004, kita (YMSC) akan mengecat semula mural ini setiap kali sambutan hari kemerdekaan.

“Walau bagaimanapun, pada tahun 2007, bendera negeri Pulau Pinang sepanjang 300 meter pula dilukis bersebelahan Jalur Gemilang menjadikannya lukisan mural bendera terpanjang di Malaysia,” ucapnya pada Majlis Mengecat Semula Mural Jalur Gemilang Terpanjang di Malaysia di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Turut sama, pengerusi jawatankuasa pelaksana, Warsa Mohamed Bakar dan penaja cat, Pengarah Eksekutif Colorland Sdn. Bhd., Loh Boon Leong.

Dalam pada itu, Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri menaja sebanyak RM12,000 bagi menjayakan projek berkenaan.

“Syabas dan tahniah kepada semua yang menjayakan projek ini terutama YMSC yang mengambil inisiatif menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-58 tahun ini,” ujar beliau.

Projek mengecat semula lukisan mural Jalur Gemilang dan bendera negeri Pulau Pinang tersebut menelan kos hampir RM100,000 termasuk tajaan cat mencecah 3,000 liter dan peralatan mengecat.

Kira-kira 300 sukarelawan dalam kalangan penaja mengambil bahagian dalam projek berkaitan yang mengambil masa kira-kira enam jam untuk disempurnakan.