St. John Ambulans terima sumbangan penghargaan

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Sebagai penghargaan kepada pertubuhan St. John Ambulans yang terlibat secara langsung berhubung aspek pengurusan keberangkatan pergi dan kepulangan para jemaah Haji melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Kerajaan Negeri baru-baru ini menyampaikan sumbangan bernilai RM3,000 kepada pihak berkaitan di sini.

Majlis penyampaian sumbangan kepada pasukan tersebut khas untuk penerbangan Haji 2015 disempurnakan Exco Pertanian & &Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

“Sumbangan ini adalah sebagai penghargaan kepada St. John Ambulans yang telah 50 tahun menguruskan prosedur pengurusan jemaah Haji di negeri ini,” katanya pada majlis tersebut di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Operasi Kawasan St. John Ambulans Barat Daya, Sadarudin Mohd. Yusof.

Dalam pada itu, menurut Sadarudin, tugasan pasukan beliau umumnya memerlukan kemahiran dan pengetahuan kerana ia melibatkan keselamatan serta kesihatan para jemaah.

“Kita (St. John) perlu peka kepada semua jemaah terutamanya yang mempunyai masalah kesihatan serta warga emas khususnya. Penugasan adalah bermula dari ketika seseorang jemaah berada di lapangan terbang sehinggalah beliau menaiki pesawat.

“Malah, penugasan adalah lebih mencabar apabila kumpulan jemaah pulang ke tanah air kerana ramai yang akan mengalami keuzuran ekoran perubahan cuaca dan lain-lain faktor,” jelas beliau.}