Suri rumah sepenuh masa dapat RM100 tahun depan

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Setiap suri rumah sepenuh masa berusia bawah 60 tahun bakal menerima sumbangan bernilai RM100 setiap tahun melalui pelaksanaan Program Ibu Emas bermula tahun depan.

Berikut adalah antara pengumuman Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri kali pertama di sini semalam.

“Sumbangan ini sebagai menghagai peranan yang dimainkan oleh wanita termasuk suri rumah sepenuh masa melakukan (dalam) perubahan di Pulau Pinang baru-baru ini.

“Semua suri rumah sepenuh masa di bawah umur 60 tahun yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri layak menerima sumbangan Ibu Emas RM100 tiap-tiap tahun.

“Kita tak beri RM100 kepada suri rumah berusia 60 tahun (dan) ke atas kerana Kerajaan Negeri sudah memberi RM100 di bawah Program Sumbangan Warga Emas,” ujarnya dalam Majlis Jamuan Tengah Hari Kerajaan Negeri di Komtar di sini semalam.

Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Exco-Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen Pulau Pinang (MP), Ketua-Ketua Jabatan dalam Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut hadir pada majlis keraian rasmi itu.

Guan Eng berkata, program sumbangan emas lain yang membabitkan warga emas, ibu tunggal, pelajar, orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya yang dilaksanakan sejak lima tahun lepas akan diteruskan dalam penggal pentadbiran kali ini.

Dalam perkembangan lain, katanya, satu lagi pasukan sukarelawan yang dikenali sebagai ‘Bridged Wanita’ akan ditubuhkan ekoran rekod kejayaan Kerajaan Negeri menubuhkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) pada sesi pentadbiran Kerajaan Negeri lepas.

Beliau, bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai fokus utama pasukan baru itu ditubuhkan.

“Bridged ini akan diletakkan secara khusus di bawah (pejabat) Ketua Menteri,” jelas beliau.