Teknologi jimat kertas mesyuarat MPPP

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Inisiatif Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menggunakan tablet iPad pada Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) di Dewan Persidangan Majlis Perbandaran, Padang Kota baru-baru ini telah berjaya menjimatkan hampir 1,500 keping kertas.

Yang Dipertua Majlis MPPP, Ar. Patahiyah Ismail berkata, dalam komitmen untuk menjaga dan menyelamatkan alam sekitar, pihak MPPP mencari satu alternatif bagi menjimatkan penggunaan kertas yang banyak pada setiap mesyuarat bulanan yang diadakan.

“Ianya adalah hari amat bermakna apabila MPPP tidak lagi menggunakan sebarang kertas untuk membentangkan minit mesyuarat, sekaligus dapat menjimatkan hampir 1,500 keping penggunaan kertas dalam satu-satu masa,’’ katanya pada sidang media selepas selesainya MBM di sini baru-baru ini.

Menurut Patahiyah, dengan penggunaan teknologi digital bagi membentangkan minit mesyuarat, ia diyakini dapat menambahbaik perkhidmatan dengan lebih cepat dan berkesan memandangkan kos kertas adalah mahal kini.

“Penggunaan iPad bukan terhad kepada Ahli  Majlis MPPP sahaja, tetapi kesemua ketua jabatan MPPP juga sudah mula menggunakannya,’’ ujarnya sambil menjelaskan bahawa seramai 24 Ahli Majlis MPPP telah menerima iPad pada April lalu.

Dalam pada itu, Ahli Majlis, Tahir Jalaludin mengucapkan tahniah kepada MPPP kerana menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama mempelopori penggunaan tablet berkenaan.

“Melalui kemudahan iPad yang diberikan ini, ia bukan sahaja memudahkan kerja kami, malah, kerja menjadi lebih cepat.

“Contohnya, jika sebelum ini pada proses temuduga perlesenan, MPPP terpaksa mengambil masa dari pagi sampai ke petang untuk mencatatkan keputusan melalui kertas tetapi dengan adanya teknologi ini, keputusan meluluskan lesen dapat dipercepatkan,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini.