YDP alu-alukan penaja program pulihara sungai

Teks & Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

PADANG LALANG – Yang di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berharap lebih banyak pertubuhan berkaitan alam sekitar serta sektor korporat berwajib tampil menaja program pemuliharaan sungai dan kolam, anjuran peringkat komuniti serta sekolah.

Setakat ini, katanya, syarikat SP Setia Foundation, Canon Electronics (M) Sdn. Bhd. dan beberapa pihak lain melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberi tajaan di bawah cluster environmental care.

Menurut Maimunah, program CSR yang turut mendapat kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dekat Tanjung Malim itu, sehingga kini telahpun melontar sejumlah 19,300 bola selut (mud balls) ke dalam sungai dan kolam sekitar Seberang Perai.

“Projek ini telah kita (MPSP) mulakan pada tahun 2009 bagi memelihara dan memulihara sungai di Seberang Perai untuk generasi akan datang.

“Hasil pemerhatian, usaha yang dijalankan ini menunjukkan perubahan kualiti air sungai kawasan di Perai adalah bertambah baik, iaitu di belakang kilang Uchi Electronics menunjukkan impak positif dengan pengurangan bau busuk dipercayai akibat pencemaran,’’ katanya pada Majlis Perasmian Lontaran Bebola Tanah dan Pelepasan Benih Ikan di Kolam Teratai di sini baru-baru ini.

Maimunah memberitahu, program pendidikan tersebut membabitkan 50 murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Tasek Permai, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Feringgi dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Aik Hua.

Turut serta, Setiausaha Majlis MPSP, Sr. Rozali Mohamud, Pengarah Urusan Canon Electronic Malaysia Sdn. Bhd., Koji Noborya dan Pensyarah UPSI, Dr. Che Zalina Zulkifli.

Sejak 2009, MPSP memberi sokongan terhadap aktiviti balingan bola selut di sungai-sungai dan kolam sekitar Seberang Perai demi mengurangkan risiko air tercemar.

Difahamkan, kira-kira 10,200 biji bola selut berjaya dilontarkan di Sungai Derhaka diikuti sungai sekitar Perai (6,800), Kolam Teratai (1,200) dan Juru Dam (1,100).

} else {