KM syor guna bas bertingkat untuk BEST

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

PANTAI JEREJAK – Syarikat berkaitan Kerajaan Persekutuan, Rapid Penang Sdn. Bhd. (RapidPenang) disyor menyediakan bas bertingkat memandangkan kegunaan perkhidmatan pengangkutan bas percuma Bridge Express Shuttle Transit (BEST) ke Zon Perindustrian Bebas (FIZ) kian meningkat kini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri sejak 2011 membelanjakan RM9.85 juta untuk membiayai kos perkhidmatan BEST demi mengurangkan kesesakan trafik pada waktu-waktu puncak di Jambatan (Pertama) Pulau Pinang serta FIZ, Bayan Lepas.

“Saya berharap perkhidmatan ini dapat digunakan secara optimum oleh rakyat negeri ini demi memastikan perkhidmatannya berkekalan dan mencapai objektif ditetapkan,” ujarnya pada Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Dengan Pengguna BEST Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, BEST mendapat sambutan menggalakkan daripada kumpulan sasar berwajib sejak diperkenalkan pada 1 Mac 2011.

“Kadar penumpang telah meningkat kepada purata sehari penggunaan ialah 400 hingga 450 pengguna untuk perjalanan sehala.

“Ini bermakna, jumlah keseluruhan pengguna sehari mencecah 900 pengguna membabitkan 14 bas yang diguna untuk melaksanakan perkhidmatan ini di laluan utama dan laluan feeder,” jelasnya yang juga Pengerusi Majlis Pengangkutan Pulau Pinang (PTC).

Tambah Kon Yeow, penyediaan bas bertingkat akan memberi lebih keselesaan kepada pengguna, sungguhpun jumlah bas yang disediakan masih mencukupi ketika ini.

“Jadual perjalanan bas bermula seawal 6.30 pagi, ia (waktu) kadangkala sesak dengan jumlah penumpang yang semakin ramai sehingga ada yang terpaksa berdiri sepanjang perjalanan dari Seberang Jaya ke kawasan FIZ.

“Justeru, kita (Kerajaan Negeri) berharap dengan adanya bas bertingkat ini nanti, masalah tersebut dapat diatasi,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon yang juga ADUN Pantai Jerejak serta Ketua Pegawai Operasi Rapid Penang, Mejar (B) Mohd. Shukri Abdul Rahman.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);