SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mencalonkan 10 makanan tradisi negeri kepada Jabatan Warisan Negara untuk diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, antara makanan yang dicalonkan adalah nasi kandar, char kuetiau, pasembur, mi Hokkien, mi Jawa, ‘oh chien’ (omelet tiram), mi udang, mi sotong, kerabu bihun dan roti benggali.
“Pulau Pinang telah lama dikenali sebagai syurga makanan.
“Bagi meneruskan dan mengukuhkan kelebihan ini, Kerajaan Negeri akan terus menganjurkan Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang (Penang International Food Festival – PIFF) serta memperkukuh promosi di luar negara bagi membawa keunikan makanan Pulau Pinang ke pentas dunia.
“Pada masa yang sama, aspek kebersihan dan kualiti makanan juga akan sentiasa dipastikan berada pada tahap terbaik,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di Dewan Besar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh, di sini hari ini.
Hon Wai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong memaklumkan bahawa baru-baru ini, platform media dan hiburan global, TimeOut telah menyenaraikan Pulau Pinang antara ’10 Bandar Makanan Jalanan Terbaik Asia’ yang wajib dicuba.
Jelasnya lagi, Pengulas makanan TimeOut, Katie Lockhart, turut memuji keunikan gastronomi negeri itu dengan menyatakan bahawa “jika saya perlu memilih satu makanan jalanan sepanjang hidup saya, saya akan memilih George Town.”
Menurut Hon Wai, pengiktirafan tersebut bukan sahaja mencerminkan keunikan budaya gastronomi Pulau Pinang, malah memperkukuh kedudukan negeri sebagai bandar gastronomi bertaraf dunia serta menjadi kebanggaan Malaysia.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa Penang International Food Festival (PIFF) @Tanjong 2025 akan diperluas tempoh penganjuran daripada dua hari kepada enam hari, dan akan berlangsung pada tiga hujung minggu pertama bulan November depan.
“Festival ini akan diadakan di lima lokasi ikonik sekitar George Town, bagi menonjolkan keunikan warisan makanan negeri ini,” tambahnya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin; Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Wan Ashbi @ W. Maheran Leman; Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Dr. Ahmad Asri Abd. Samat yang menjalankan fungsi Rektor UiTM Pulau Pinang; serta Penolong Rektor UiTM Pulau Pinang, Ts. Dr. Mohamad Azhar Mohd. Noor.
Dalam sidang media selepas itu, Mohamad Muda memaklumkan bahawa sehingga kini sebanyak 213 jenis makanan tempatan telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
“Antara makanan Pulau Pinang yang telah diwartakan sebelum ini adalah char kuetiau, kuih angku, pulut tekan dengan seri kaya, laksa, ‘pie tee’ dan gerang asam.
“Sebagaimana dimaklumkan oleh Exco, terdapat 10 lagi makanan tradisi Pulau Pinang yang baru dicalonkan.
“Jabatan Warisan Negara telah melepasi peringkat penilaian fakta dan bersedia untuk mengisytiharkan makanan tersebut sebagai Warisan Kebangsaan.
“Sebelum digazetkan secara rasmi, aspek penting yang dinilai adalah sama ada komuniti masih mengamalkan warisan tidak ketara tersebut, termasuk menghasilkan kuih-muih tradisi berkenaan,” jelasnya.
Beliau turut menambah, mana-mana warisan tidak ketara yang telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan layak untuk dicalonkan ke peringkat lebih tinggi bagi pengiktirafan UNESCO (Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu).
Setakat ini, katanya, nasi lemak, roti canai dan teh tarik yang merupakan sarapan pagi Malaysia telah mendapat pengiktirafan UNESCO.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD