10 pasukan bomba komuniti terima bot, siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

Admin
8865848a 02a6 4c49 8720 885bea7ee377

BUKIT TAMBUN – Sebanyak 10 pasukan bomba komuniti di negeri ini menerima sumbangan bot daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, pemberian tersebut selaras dengan tanggungjawab besar pasukan berkenaan yang sering menjadi antara pihak terawal tampil membantu ketika bencana melanda.

“Saya berharap selepas penyerahan ini, pasukan komuniti akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak bomba dalam memastikan bot dan aset diselenggara dengan baik serta mengekalkan semangat kesiapsiagaan pada setiap masa.

“Kita semua sedar bahawa perubahan iklim kini semakin nyata, dan Pulau Pinang tidak terkecuali daripada menerima impaknya.

8ed1b169 9343 4846 97e7 170505639d9c

“Hujan lebat luar jangka, air pasang besar, tanah runtuh dan pokok tumbang semakin kerap dilaporkan yang mana Kerajaan Negeri juga komited memperkukuh langkah kesiapsiagaan dan pengurusan bencana secara menyeluruh, serta tidak mahu hanya bertindak selepas musibah berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti dan Pemeriksaan Aset Kebombaan Sempena Monsun Timur Laut Peringkat JBPM Pulau Pinang yang diadakan di Batu Kawan, di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah; Timbalan Pengarah JBPM Pulau Pinang, Endi Sherimi Mohd Azmi dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Nur Aishah Zainol.

Mooi Lye turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi tujuan bantuan dan kesiapsiagaan banjir bagi tahun 2025.

“Sehingga kini, sebanyak RM270,000 telah disalurkan, manakala baki peruntukan akan digunakan secara berperingkat bagi menyokong kesiapsiagaan di daerah berisiko tinggi,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.

Sementara itu, Mohamad Shoki menjelaskan bahawa sumbangan bot berkenaan melibatkan peruntukan kira-kira RM120,000.

“Selain bot, ia turut merangkumi enjin serta pelbagai peralatan lain seperti jaket keselamatan, alat perlindungan diri dan alatan menyelamat.

“Pihak bomba Pulau Pinang juga berada dalam keadaan siap siaga sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, khususnya di kawasan ‘hotspot’ yang telah dikenal pasti,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS