10 peranti AED di lokasi awam, bantu mangsa serangan jantung

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bakal memasang 10 unit peranti Automated External Defibrillator atau AED di lokasilokasi awam terpilih di negeri ini bagi membantu menyelamatkan nyawa individu yang mengalami serangan jantung atau cardiac arrest.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM41,340 bagi menjayakan projek pemasangan AED secara berperingkat di 10 lokasi awam terpilih di bawah inisiatif program ‘Penang Heart Safe’.

“Langkah terbaik untuk membantu mangsa serangan jantung adalah melalui kaedah CPR (cardiopulmonary resuscitation atau bantuan pernafasan) dan juga AED.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif memasang 10 unit AED secara berperingkat di setiap kawasan awam terpilih di Pulau Pinang bagi membolehkan orang ramai menggunakan AED yang boleh membantu menyelamatkan nyawa,” katanya pada Majlis Pelancaran Alat AED bersempena Program Penang Heart Safe di Komtar baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Ketua Polis Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi; Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Mior Faridalathrash Wahid dan beberapa barisan Exco dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Dalam pada itu, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin ketika ditemui memberitahu, sebagai permulaan, lima unit AED akan dipasang di bahagian pulau manakala baki lima peranti, Seberang Perai.

“Antara tempat-tempat yang dikenal pasti sebagai lokasi berpotensi termasuklah Taman Botani, Taman Perbandaran, Persiaran Gurney, Persiaran Padang Kota Lama, Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan dua kompleks sukan di Jalan Betik, Seberang Jaya dan Bertam.

“Peratusan mereka yang terselamat akibat serangan jantung hanya 1 peratus atau kurang. Persoalannya, mampukah kita menyelamatkan mangsa dalam tempoh 10 minit kerana jika lebih 10 minit, peluang pesakit mati secara mengejut adalah tinggi,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Mengulas lanjut, Afif menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan terus mempergiatkan program-program pendidikan dan latihan berhubung rawatan kecemasan teknikal penggunaan AED kepada umum.

“Pastinya, sasaran kita (Kerajaan Negeri) adalah untuk mengurangkan risiko serangan jantung melalui aktivitiaktiviti sihat seperti bersenam dan mengamalkan pemakanan seimbang.

“Tetapi, dalam masa sama, masyarakat juga perlu didedahkan dengan rawatan kecemasan teknikal bagi membantu menyelamatkan nyawa pesakit,” ujar beliau.