11 firma korporat sumbang RM1.83 juta zakat kepada MAINPP

Admin
1e073674 e347 4a55 bd5c 12b22613ca7c MAJLIS Citra Korporat Memperkasa Sosioekonomi Berteraskan APAI 2030 (Agenda Pembangunan Agama Islam Tahun 2030) di sini pada 11 Ogos 2025.

PANTAI JEREJAK – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui anak syarikatnya, Zakat MAINPP hari menerima menerima zakat korporat daripada 11 firma korporat berjumlah RM1,829,541.12.

Bank Muamalat Malaysia Berhad menyerahkan zakat korporat berjumlah RM290,767 diikuti FGV Holding Berhad (RM251,084); Bank Pembangunan Malaysia Berhad (RM250,000); CIMB Islamic Bank Berhad (RM240,000); Public Islamic Bank Berhad (RM200,000); Penang Specialist Hospital Sdn. Bhd. (RM164,030.12); Syarikat Nyaman Sdn. Bhd. / Dato’ Seri Hj. Mat Shafie bin Awang (RM120,000); Bank Simpanan Nasional (RM107,000); Sun Life Malaysia Takaful Berhad (RM81,650); SME Bank Malaysia Berhad (RM75,010) dan Alliance Islamic Bank Berhad (RM50,000).

6d87b3aa 4514 45c8 a124 27a8149af1da
MOHAMAD Abdul Hamid

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, majlis pada pagi ini bukan hanya menunjukkan satu bentuk komitmen kewangan semata-mata, malah satu bentuk pengiktirafan terhadap peranan zakat sebagai instrumen pembangunan sosial dan ekonomi yang lestari.

“Tuntutan terhadap ibadah zakat merupakan salah satu instrumen pembangunan yang digariskan secara khusus dalam Islam bagi menjana perubahan hidup individu dan masyarakat.

“Ia mendorong etika kebertanggungjawaban dalam pengurusan harta, menyuburkan integriti dalam perniagaan serta memastikan kekayaan tidak kekal berlegar dalam kalangan tertentu sahaja.

“Melalui ibadah zakat, lahir keseimbangan antara kemajuan material dan nilai kemanusiaan,” jelasnya.

Beliau memaklumkan perkara itu dalam Majlis Citra Korporat Memperkasa Sosioekonomi Berteraskan APAI 2030 (Agenda Pembangunan Agama Islam Tahun 2030) di sini pada 11 Ogos 2025.

Merujuk data Zakat MAINPP, Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat merangkap Yang Dipertua MAINPP memberitahu bahawa ia menunjukkan perkembangan positif dalam kutipan zakat perniagaan apabila jumlah kutipan meningkat daripada RM30.41 juta pada tahun 2023 kepada RM32.08 juta pada tahun 2024 iaitu peningkatan sebanyak RM1.67 juta.

“Perkembangan ini mencerminkan komitmen dan keyakinan yang tinggi daripada pihak korporat terhadap keutuhan tadbir urus serta profesionalisme pengurusan zakat di negeri ini.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui MAINPP sentiasa komited dalam melaksanakan reformasi institusi Islam secara menyeluruh melalui pelaksanaan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030).

“Salah satu teras penting APAI2030 adalah memperkasakan pengurusan zakat secara sistematik, profesional dan berimpak tinggi,” ujarnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS