Limpahan cahaya keungu-unguan Komtar sambut Hari Wanita Sedunia

GEORGE TOWN – Limpahan cahaya lampu keungu-unguan pada luaran bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sehingga akhir bulan Mac ini diharap akan terus menyemarak kesedaran semua gender berhubung sambutan Hari Wanita Sedunia di negeri Pulau Pinang kini.

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kepada Buletin Mutiara sebentar tadi.

“Dalam tempoh pandemik sebelum ini pun, apabila kes baharu positif COVID-19 disahkan melebihi 40, limpahan cahaya di bangunan Komtar ini pernah bertukar kepada warna merah yang membawa maksud kita berada dalam zon merah.

“Tujuannya, supaya limpahan warnah merah tersebut akan menarik perhatian semua pihak di sekeliling kawasan ini supaya berhati-hati serta terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

“Dan, seperti sekarang, limpahan cahaya sebelah malam di bangunan ini kelihatan keungu-unguan, jadi saya harap semua orang menyedari sambutan Hari Wanita Sedunia pada bulan ini,” jelasnya di sini pada 10 Mac 2022.

Difahamkan, saban hari bermula jam 7 malam, limpahan cahaya keungu-unguan boleh dilihat pada bahagian luar bangunan Komtar kini.

Tarikan baharu itu, menurut Lai Heng, adalah hasil inisiatif korporat PDCSU iaitu anak syarikat kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sebagai menyokong kempen Kerajaan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) berhubung agenda memartabatkan gender berkaitan di negeri.

“Seingat saya, pada akhir tahun lalu (2021), semasa Pulau Pinang memasuki fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), PSCSU selaku firma bertanggungjawab menguruskan fasiliti bangunan ikonik ini telah menukar lampu limpah pada bahagian luar bangunan (daripada warna kemerah-merahan kepada warna-warni).

“Kini, limpahan cahaya pada bangunan Komtar bertukar keungu-unguan untuk mengajak semua pihak bersama-sama menyambut Hari Wanita Sedunia dengan tema ‘Hapuskan Stereotaip’,” ulasnya.

ONG Bee Leng

Dalam temu bual berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng memberitahu bahawa pihaknya begitu gembira dengan semua pihak yang terlibat di sebalik projek limpahan cahaya keungu-unguan di Komtar bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia.

“Saya ingin berterima kasih kepada Kerajaan Negeri, PDCSU, syarikat-syarikat korporat atas sokongan berterusan mereka, yang sekali gus menjadikan PWDC lebih bermotivasi untuk mempromosi hak wanita secara aktif di samping inisiatif berkaitan kesaksamaan gender.

“Sebaik sahaja mereka melihat limpahan cahaya ungu pada bangunan Komtar, diharapkan mereka ingat sambutan hari penting ini (iaitu Hari Wanita Sedunia),” ujarnya menerusi telefon kepada Buletin Mutiara.

Mengulas lanjut, Bee Leng memberitahu bahawa kini, PWDC kian memberikan tumpuan kempen kepada jurang antara lelaki serta wanita daripada segi pendidikan, kesihatan, ekonomi dan politik.

“Jurang yang paling besar ialah dalam bidang politik, contohnya, hanya terdapat enam ADUN wanita di negeri (Pulau Pinang) ini, yang mana tidak mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pada peringkat pembuat dasar.

“Daripada segi ekonomi pula, walaupun kita (PWDC) melihat ramai usahawan wanita cemerlang serta ‘tidak kalah’ berbanding usahawan lelaki daripada segi kuasa pendapatan; masih terdapat jurang gender yang ketara,” tegasnya.

Pun begitu, menurut beliau lagi, hanya jurang dalam pendidikan dan kesihatan dilihat lebih kecil berbanding dalam aspek ekonomi serta politik.

“Selamat Hari Wanita,” katanya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar :WONG SOOK SHYAN