1,380 terima darjah kebesaran Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Pengerusi Eksekutif Syarikat Yusof Taiyoob Sdn. Bhd., Dato’ Seri Yusof Taiyoob; Presiden Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA), Dato’ Seri Wong Siew Hai dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Takaful Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Hassan Kamil mendahului senarai 1,380 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-73 Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak.

 

Mengikut senarai penerima, ketiga-tiga mereka merupakan penerima darjah Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N) yang membawa gelaran Datuk Seri.

 

Selain itu, seramai 21 individu menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Datuk Seri antaranya mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; mantan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Awang Adek Hussin (kini Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia); Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd., Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa; mantan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; pakar patologi forensik, Profesor Madya Datuk Dr. Bhupinder Singh a/l Jeswant Singh dan Felo Institution of Engineers Malaysia, Datuk Ir. Lim Kok Khong.

 

Pengerusi Penang Clan Chinese Council, Datuk Ang Cho Teing; Pengerusi Penang Crime Consciousness and Public Safety Society (CCPSS), Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah dan Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Profesor Datuk Dr. Aileen Tan Shau Hwai antara 18 penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N) yang membawa gelaran Datuk.

 

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Amran Hazali; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. A. Rajendran; mantan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Ir. Zainuddin Yusoff dan Timbalan Presiden Malaysia Association of Hotels (MAH), Khoo Boo Lim merupakan antara 117 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Datuk.

 

Selain itu, seramai 107 individu menerima Darjah Johan Negeri; Bintang Cemerlang Negeri (19); Pingat Kelakuan Terpuji (197); Pingat Jasa Kebaktian (333); Pingat Jasa Masyarakat (536) dan Pingat Bakti Setia (29).

 

LAW Choo Kiang (kiri) dan Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah meneliti senarai nama penerima darjah kebesaran tahun ini.

 

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang memaklumkan bahawa Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula 23 Julai 2022.

 

“Acara sambutan akan dimulakan dengan istiadat kawalan kehormat di Dataran Sri Pinang seterusnya istiadat penganugerahan di Dewan Istiadat di sini (Dewan Sri Pinang).

 

“Seramai 193 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri akan menerima anugerah masing-masing disusuli hari kedua (25 Julai) seramai 399 penerima; hari ketiga (26 Julai, 391) dan hari keempat (28 Julai, 398).

 

“Secara keseluruhan bagi tahun 2022, TYT Tun berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri kepada 1,380 individu iaitu teramai sejak tahun 2018,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media yang berlangsung di Dewan Sri Pinang pada 22 Julai 2022.

 

Menurut Choo Kiang, selain istiadat penganugerahan berkaitan, Majlis Jamuan Teh Peringkat Negeri turut akan diadakan dengan kehadiran Ahmad Fuzi dan isteri, Toh Puan Datuk Seri Utama Khadijah Mohd. Nor serta pembesar-pembesar negeri.

 

“Manakala Majlis Makan Malam pula akan diadakan pada 24 Julai 2022 di Pusat Konvensyen SPICE,” katanya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT