Lalu lintas sehala di Lebuhraya Merdeka dan Pasar Lebuh Cecil kurangkan konflik aliran trafik

Admin

PENGKALAN KOTA – Sebahagian Lebuhraya Merdeka, Pintasan Pengkalan Satu dan lorong tepi Pintasan Pengkalan Satu akan menjadi laluan sehala bermula jam 10 pagi, 27 Julai ini.

 

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Wong Yuee Harng berkata, masalah aliran lalu lintas yang berlaku di kawasan berkenaan adalah berpunca daripada kenderaan orang ramai yang diletakkan di bahu jalan.

 

 

“Pada masa sama, terdapat deretan penjaja di sebahagian Lebuhraya Merdeka dari jalan servis, Pengkalan Weld dan Pintasan Pengkalan Satu.

 

 

“Walau bagaimanapun, sebahagian Lebuhraya Merdeka di antara Pengkalan Weld ke jalan servis dikekalkan sebagai dua hala supaya kenderaan dari Pangsapuri Taman Harbour View dapat masuk dan keluar melalui jalan tersebut,” ujar Yuee Harng dalam satu sidang media di sini pagi tadi.

 

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

 

 

Pada sidang media sama, Zi Sen memaklumkan bahawa pihaknya turut mendapat permohonan bagi kajian penukaran aliran lalu lintas sehala di sebahagian lorong belakang Pasar Lebuh Cecil iaitu di kawasan Pasar Borong Lebuh Cecil.

 

“Ini kerana pada masa sekarang, kebanyakan orang awam menggunakan jalan ini sebagai laluan keluar dari kawasan pasar ke Lebuh Sandilands dan bukannya sebagai laluan masuk ke kawasan pasar.

 

 

“Sehubungan itu, MBPP bersetuju untuk menukar arah lalu lintas sehala di sebahagian lorong belakang Pasar Lebuh Cecil iaitu pada bahagian belakang Pasar Borong Lebuh Cecil dengan arah aliran masuk/keluar Pasar Lebuh Cecil menuju ke Lebuh Sandilands,” jelasnya.

 

 

Difahamkan, penukaran aliran lalu lintas tersebut akan dilaksanakan selama tidak kurang dari tiga bulan bermula 26 Julai ini.

 

 

Melalui pertukaran tersebut, diharap ia dapat mengurangkan konflik lalu lintas di persimpangan lorong belakang, Pasar Lebuh Cecil/ Lebuh Sandilands sekali gus melancarkan aliran lalu lintas di jalan terlibat.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD