GEORGE TOWN – Sebanyak 14 pasukan bakal berentap bagi merebut gelaran juara Kejohanan Badminton Piala Ketua Menteri 2025.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yoew berkata bahawa kejohanan yang memasuki edisi ketiga pada tahun ini menyaksikan sambutan yang amat luar biasa, sekali gus membuktikan bahawa semangat kesukanan di negeri ini terus menyala dan berkembang.
“Sebanyak 14 pasukan melibatkan 160 pemain bakal berentap dalam kejohanan yang akan berlangsung pada 1 dan 2 November 2025, bertempat di Kelab Rekreasi Cina Pulau Pinang (CRC Penang).
“Berbeza dengan edisi sebelumnya yang dijalankan di dua lokasi serentak, pada tahun ini pihak penganjur memilih untuk memusatkan acara di satu lokasi utama bagi memberikan pengalaman pertandingan lebih menyeluruh dan berfokus kepada semua terlibat.
“Pertandingan akan melibatkan perlawanan peringkat kumpulan, dan pusingan suku akhir bakal berlangsung pada 1 November, manakala separuh akhir dan perlawanan akhir pada 2 November 2025.
“Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada malam 2 November yang turut bertujuan meraikan para pemain serta barisan sukarelawan terlibat,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.


Hadir sama, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lau Keng Ee; Pengarah Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota dan Parlimen Batu Kawan, Ewe Chee Way; Pengerusi Kelab Bola Sepak Timuran, Teoh Choon Kheng; Pengarah Urusan Kumpulan Hunza, Dato’ Khor Siang Gin dan Ketua Pegawai Eksekutif Sports We Play, Sim Fong Hau.
Kon Yeow memaklumkan bahawa kejohanan kali ini menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM23,000 kepada para pemenang.
“Hadiah wang tunai bagi kejohanan ini adalah berjumlah RM10,000 bagi johan, manakala naib johan (RM7,000).

“Bagi dua pasukan yang berjaya memasuki pusingan separuh akhir pula akan menerima RM3,000 setiap pasukan yang menunjukkan bahawa nilai hadiah wang tunai telah berganda berbanding tahun lepas,” ujarnya juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Berikutan sambutan luar biasa yang diterima, Kon Yeow memberitahu bahawa kejohanan pada tahun ini turut mendapat tajaan hadiah tambahan daripada pelbagai pihak.
“Antaranya, dua tiket penerbangan ke Guangzhou, China bagi dua pemenang cabutan bertuah, iaitu masing-masing meliputi satu tiket pergi balik dari Pulau Pinang ke Guangzhou serta satu pakej perjalanan selama empat hari tiga malam di Guangzhou.
“Selain itu, terdapat juga pelbagai hadiah menarik lain yang tidak kurang hebatnya, termasuk lima motosikal dan 30 hadiah cabutan bertuah untuk dimenangi.
“Justeru, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua penaja atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan kejohanan ini,” katanya.
Tambah Kon Yeow, penganjuran kejohanan tersebut bukan sekadar acara sukan semata-mata, tetapi merupakan cerminan langsung kepada aspirasi Penang2030 iaitu visi menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang berdaya huni, pintar dan inklusif.
Pada masa sama, beliau menyeru pelbagai pihak termasuk sektor awam, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti korporat untuk bersama-sama mendukung penganjuran kejohanan tersebut.
“Bantuan dalam bentuk penajaan, kepakaran teknikal, logistik dan promosi adalah amat dialu-alukan agar kejohanan ini dapat terus berkembang sebagai satu jenama tetap dalam kalendar sukan negeri.
“Semoga melalui kejohanan ini dapat menyemarakkan lagi semangat kesukanan, mengukuhkan perpaduan rakyat dan bersama-sama membina Pulau Pinang yang gemilang, sejahtera serta inklusif sejajar dengan hala tuju Visi Penang2030 dan semangat Malaysia Madani,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS