14 pasukan mula berentap rebut Piala Ketua Menteri

Admin
img 20251101 wa0080

GEORGE TOWN – Kejohanan Badminton Piala Ketua Menteri membuka tirai dalam suasana penuh semangat dengan menyaksikan 14 pasukan mula berentap merebut gelaran juara mulai hari ini (1 November 2025).

Majlis pembukaan rasmi kejohanan yang berlangsung di Kelab Rekreasi Cina (CRC) Pulau Pinang, di sini disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Bercakap kepada pemberita, Kon Yeow menyifatkan kejohanan yang memasuki edisi ketiga tahun ini adalah lebih kompetitif kerana tidak disertai oleh pemain profesional yang pernah mewakili negara.

“Pada edisi kali ini, kita tidak mengizinkan pemain yang pernah mewakili negara untuk menyertai kejohanan yang menjadikan pertandingan menjadi lebih kompetitif.

“Ini kerana pada tahun lepas, kita dapati ada pasukan yang menjemput bekas pemain profesional negara yang masih lagi aktif.

“Hanya bekas pemain yang pernah mewakili negeri sahaja yang dibenarkan mengambil bahagian, itupun setelah mereka tidak lagi aktif dalam sukan badminton.

“Malah, kejohanan pada tahun ini juga sedikit berbeza kerana dianjurkan di satu lokasi sahaja iaitu di CRC,” katanya.

img 20251101 wa0079img 20251101 wa0075img 20251101 wa0082img 20251101 wa0073img 20251101 wa0062img 20251101 wa0069

Turut hadir, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lau Keng Ee; Pengarah Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota dan Parlimen Batu Kawan, Ewe Chee Way serta barisan penaja.

Pada masa sama, Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada barisan penaja yang memberikan sokongan kepada kejohanan berkaitan pada tahun ini.

“Dengan sokongan penaja, kami dapat menambah hadiah wang tunai untuk juara dan naib juara serta dua pasukan yang berjaya ke separuh akhir.

“Semua pemain yang berdaftar juga layak untuk mengambil bahagian dalam acara cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan, termasuk lima buah motosikal,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa kejohanan tersebut juga selaras dengan Visi Penang2030 yang menggalakkan penglibatan komuniti dalam kegiatan sukan, riadah, seni dan budaya serta lain-lain.

“Saya percaya di banyak kawasan, wakil rakyat juga menganjurkan pelbagai pertandingan seumpamanya sama ada pickleball, bola keranjang, dan lain-lain.

“Jadi, saya berharap agar program seperti inj dapat membawa komuniti bersama-sama dan menunjukkan semangat kebersamaan, kesukanan, dan sebagainya,” ulasnya.

Difahamkan, pertandingan berkaitan akan melibatkan perlawanan peringkat kumpulan, dan pusingan suku akhir bakal berlangsung pada 1 November (hari ini), manakala separuh akhir dan perlawanan akhir pada 2 November 2025.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT