1,530 terima darjah kebesaran, pingat kehormatan negeri

Admin
whatsapp image 2025 07 25 at 10.36.08

GEORGE TOWN – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Mohd. Yussof Abdul Latiff dan Pengerusi Eksekutif MMAG Holdings Berhad, Datuk Wira Farhash Wafa Salvador mendahului senarai 1,530 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-84 Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ramli Ngah Talib.

 

Mengikut senarai penerima, keempat-empat mereka merupakan penerima darjah Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

 

Selain itu, seramai 17 individu menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk M. Jana Santhiran; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa; Ahli Lembaga Majlis Sukan Negara, Datuk Wira Lee Chong Wei; Pengasas Kumpulan UWC Berhad, Datuk Ng Chai Eng; Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Public Gold, Datuk Wira Louis Ng Chun Hau dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Canselor Universiti Malaysia MAIWP, Profesor Datuk Dr. Noor Inayah Ya’akub.

 

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) USKPN Bukit Aman, CP Datuk Sri Muhammed Hasbullah Ali; Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard JIPS Bukit Aman, CP Datuk Hamzah Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi; Pengerusi Persatuan Melayu Pulau Pinang, Datuk Abdul Wahab Hamid; Honorary Council of Brazil for Penang, Datuk Chin Lye Kheng; Pemegang Amanah Hokkien Kongsi Pulau Pinang, Datuk Ar. Lawrance Lim Hua Kwang dan Pengarah Urusan Pipesway Furniture Sdn. Bhd., Datuk M. Chandra Kumar antara 11 penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N) yang membawa gelaran Dato’.

 

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang, Wan Nor Sakina Saad; Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Dr. Faizal Kamarudin; Ketua Hakim Syarie Negeri Pulau Pinang, YAA Za’im Md Yudin; Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, YA Kenneth Yoong Ken Chinson St. James; Perunding Pakar Bedah Ortopedik Loh Guan Lye Specialist Centre, Dr. Goh Eng Tat; Artis Keadilan Sosial, K. Gunabalan dan Pengurus Besar Kwong Wah Yit Poh Press Berhad, Lee Hin Chan merupakan antara 118 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Dato’.

 

Seramai 85 individu menerima Darjah Johan Negeri; Bintang Cemerlang Negeri (43); Pingat Kelakuan Terpuji (222); Pingat Jasa Kebaktian (317); Pingat Jasa Masyarakat (641) dan Pingat Bakti Setia (18).

 

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Seri Law Choo Kiang memaklumkan bahawa Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula 26 Julai 2025 di Dewan Sri Pinang.

 

Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang telah berkenan supaya Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2025 pada 26, 28, 29 dan 30 Julai 2025.

 

“Pada tahun ini seramai 150 penerima Darjah Kebesaran, manakala 1,380 penerima adalah penerima Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri akan menerima anugerah masing-masing untuk empat hari tersebut.

 

“Mereka ini terdiri daripada anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan, ahli politik, ahli korporat, anggota pertubuhan bukan kerajaan, usahawan tempatan dan ahli badan sukarelawan,” katanya yang juga Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui kenyataan media bertarikh 25 Julai 2025.

 

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI