24 Ahli Majlis MBSP angkat sumpah, galas amanah besar tahun 2026

Admin
38e1cf76 63ec 467c 9ee3 97727d18ff67 KETUA Menteri (tujuh dari kanan), Jason H’ng Mooi Lye (lapan dari kanan) dan Datuk Bandar MBSP (enam dari kanan) serta beberapa ADUN lain saling menyantuni barisan Ahli Majlis MBSP yang baru dilantik di Menara Bandaraya di sini sebentar tadi.

SEBERANG JAYA – Lapan muka baharu di samping 16 individu sedia ada melengkapkan pelantikan 24 Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berkuat kuasa 1 Januari 2026 sehingga 31 Disember 2026 berdasarkan Seksyen 10(1), Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Mereka melafazkan sumpah dan ikrar terimaan jawatan masing-masing bagi penggal pentadbiran tahun 2026 di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid di sini sebentar tadi.

262270a6 618b 423a ae02 b9da2863e3cd
KETUA Menteri

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi semasa menyampaikan amanat antara lain menyifatkan pelantikan mereka yang berkenaan merupakan suatu amanah besar dalam merealisasikan aspirasi Kerajaan Negeri dan Persekutuan secara cekap dan berintegriti bagi memenuhi ekspektasi warga penduduk Seberang Perai.

“Ahli Majlis merupakan tulang belakang pentadbiran kerajaan tempatan dalam menyampaikan dasar, mendengar suara rakyat dan menyantuni keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.

“Dalam era digital yang pantas, saya menyeru agar Ahli-ahli Majlis sentiasa peka dan bertanggungjawab dalam menangani isu setempat serta menyampaikan maklumat yang tepat berlandaskan prinsip kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan,” ujarnya di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP pada 2 Januari 2026.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut menekankan bahawa bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada ketahanan fiskal dan pengukuhan hasil negeri selaras dengan Visi Penang2030 dan kerangka Malaysia Madani.

Di samping itu, beliau turut menyentuh mengenai manfaat besar yang diterima Pulau Pinang melalui Bajet 2026 Persekutuan, terutamanya Projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua (PTJSD).

“Projek ini dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas secara signifikan serta meningkatkan mobiliti ekonomi di Seberang Perai.

“Justeru, saya berharap MBSP dan Ahli-ahli Majlis dapat merangka serta melaksanakan Pelan Penyuraian Trafik Seberang Perai secara menyeluruh,” ujarnya.

Selain itu, Kon Yeow menyatakan bahawa projek naik taraf Kompleks Sukan Bertam perlu juga diberi perhatian serta diselenggara dengan baik memandangkan ia adalah aset MBSP, demi kegunaan penduduk di Seberang Perai Utara (SPU).

Dalam majlis sama, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada lapan mantan Ahli Majlis yang telah menamatkan perkhidmatan pada tahun 2025 atas khidmat bakti mereka sepanjang tempoh penjawatan.

Selain Baderul Hamid, turut berucap adalah Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye yang juga ADUN Jawi.

Buletin Mutiara difahamkan, daripada lapan muka baharu yang dilantik sebagai Ahli Majlis MBSP, Linda Ng Kerh Wei, Tan Chee Teong dan K. Yoganraj Thever adalah daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Tiga lain daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Hasrul Husin, Ahmad Rizal Abd Hamid dan Anuar Yussoff; manakala baki dua lagi adalah Datuk Mohd Zaidi Said (Umno) dan Chang Kim Joo (pertubuhan bukan kerajaan, NGO).

Ahmad Rizal, Anuar dan Kim Joo masing-masing sebelum ini pernah menjadi Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : DARWINA MOHD. DAUD