26 amil zakat fitrah terima pengiktirafan, pemenang utama bawa pulang RM5,000

Admin
img 9629 DI Majlis Anugerah Amil Fitrah (MAFIT) Tahun 1446H/2025M kepada para pemenang di Dewan Wisma Al-Ansar, Majjid Al-Muhajirin Seberang Jaya di sini pada 16 Julai 2025.

SEBERANG JAYA – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui anak syarikatnya, Zakat MAINPP menyampaikan anugerah khas serta sejumlah sumbangan kepada 26 individu atas peranan serta tanggungjawab mereka sebagai amil bertauliah.

Pemenang utama mendapat wang tunai RM5,000, manakala 25 penerima lain masing-masing menerima saguhati berjumlah RM1,000.

img 9631
MOHAMAD Abdul Hamid

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua MAINPP merangkap Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat sendiri menyampaikan Anugerah Amil Fitrah Tahun 1446H/2025M kepada para pemenang di Dewan Wisma Al-Ansar, Majjid Al-Muhajirin Seberang Jaya di sini pada 16 Julai 2025.

“Majlis Anugerah Amil Fitrah (MAFIT) ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada para amil yang telah menunjukkan komitmen yang baik,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan atas penglibatan Bank Islam Malaysia
Berhad (BIMB) pada majlis hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung turut memberitahu bahawa peningkatan prestasi kutipan zakat fitrah 1446H/2025M kepada RM8.89 juta, meningkat 21.2 peratus berbanding tahun lalu iaitu RM7.34 juta.

“Peningkatan ini bukan sahaja mencerminkan kepatuhan
masyarakat Islam terhadap tuntutan agama, tetapi juga keyakinan tinggi rakyat terhadap kecekapan dan ketelusan pengurusan Zakat MAINPP,” jelasnya lagi sambil memberitahu MAINPP menyasarkan kutipan zakat fitrah dan zakat harta bagi tahun kutipan akan datang secara keseluruhannya berjumlah RM200 juta.

Berucap sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Mohamad Khairi Ghazali berkata, pihaknya komited untuk memperkasa sistem sokongan kepada para amil termasuk melalui latihan berstruktur, sistem digital lebih efisien serta saluran komunikasi lebih terbuka dan mesra kepada para amil.

Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman; Timbalan Yang Dipertua MAINPP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abd. Aziz Tajuddin; dan Setiausaha Majlis bagi MAINPP, Dato’ Rosidi Hussain antara pemimpin yang turut serta MAFIT 2025.

Amil bertauliah dari Masjid Kariah Padang Lalang Bukit Mertajam, Ahmad Shakrani Abdul Samat diumum sebagai pemenang utama MAFIT 2025 serta membawa pulang RM5,000 selepas berjaya mengutip zakat fitrah berjumlah RM14,283.72 melalui 514 transaksi tanpa tunai.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI