26 pasukan bola sepak terima sumbangan RM 31,500

Admin
KETUA Menteri (berbaju kuning) menyampaikan sumbangan kepada wakil salah satu pasukan bola sepak negeri, Kelab Rekreasi Kongsi, Balik Pulau, Syed Fahmi Syed Hassan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada 26 Pasukan Bola Sepak Bawah Naungan FAP di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri (berbaju kuning) menyampaikan sumbangan kepada wakil salah
satu pasukan bola sepak negeri, Kelab Rekreasi Kongsi, Balik Pulau, Syed Fahmi
Syed Hassan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada 26 Pasukan Bola
Sepak Bawah Naungan FAP di sini baru-baru ini.

Oleh : ZULIANA AZIZ

GEORGE TOWNDalam usaha memulihkan reputasi pasukan bola sepak negeri ini yang dipercayai semakin hilang taringnya, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menyampaikan sumbangan kewangan RM 31,500.00 kepada 26 kelab bola sepak di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang ditemui ketika sidang medianya berhubung keputusan tersebut berkata, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan sumbangan RM1,500 kepada 11 kelab bola sepak Divisyen 1 manakala RM1,000 bagi 15 kelab bola sepak Divisyen 2 dan Divisyen 3.

“Kerajaan Negeri mahu melihat sebuah FAP yang berkesan dan profesional untuk menyumbang kepada pembangunan sukan bola sepak di Pulau Pinang.

“Lantaran itu, semua masalah pengurusan kewangan haruslah dibersihkan demi memulihkan keyakinan para penaja dan penderma. Justeru, Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan inisiatif FAP untuk menjalankan suatu audit khas oleh syarikat perakaunan bagi mengaudit pengurusan kewangan yang lepas,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri berharap FAP yang kini dipimpin oleh Presidennya, Mohd. Foaz Hamid dan Timbalannya, Prof. Datuk Dr. Zainuddin Md. Wazir akan mengembalikan semula sinar kegemilangan sukan bola sepak negeri ini.

“Sebagai bukti sokongan Kerajaan Negeri dan pemangkin semangat baru kepada pimpinan baru FAP ini, Kerajaan Negeri dengan sukacitanya membenarkan FAP menggunakan Stadium Bandaraya Pulau Pinang tanpa perlu menjelaskan hutang tertunggak yang lama berjumlah RM409,290.

“Walau bagaimanapun, rekod hutang tersebut akan tetap kekal dalam rekod kewangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). FAP hanya perlu membayar kos berkaitan yang akan datang sahaja,” jelas Ketua Menteri.

Katanya, dengan tiga langkah iaitu membersihkan urusan kewangan, membenarkan penggunaan Stadium Bandaraya dan pemberian sumbangan berkenaan diharap ia bukan sahaja akan memberi harapan baru, malah, bakal membuka suatu lembaran baru kepada pentadbiran FAP.