D’Nonce Penang International Hiking Challenge tarik 2,000 penyertaan

Admin

 

GEORGE TOWN DNonce Penang International Hiking Challenge yang dianjurkan D’Nonce Technology Bhd. dan Kelab Pengembara Pulau Pinang dengan sokongan Kerajaan Negeri baru-baru ini telah berjaya mengumpulkan 2,000 peserta termasuk dari luar negara.

Daripada jumlah tersebut, seramai 1,032 peserta menyertai acara kategori 1 iaitu ‘Competitive Hike’ membabitkan jarak pendakian sejauh 9.5 kilometer manakala bakinya dalam acara kategori 2 iaitu ‘Fun Hike(3.5 kilometer).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, program julung kali diadakan tersebut merupakan salah satu acara pendakian terbesar dalam sejarah negeri ini.

“Bukan itu sahaja, acara pendakian ini turut diadakan bersempena sambutan Hari Bumi bagi menghayati dan memberi kesedaran bahawa betapa pentingnya melindungi alam sekitar serta bersatu dalam membentuk masa depan yang mampan,” katanya sebelum merasmikan acara tersebut di Taman Belia di sini baru-baru ini.

Acara pelepasan bagi kategori ‘Competitive Hike’ telah disempurnakan oleh Ketua Menteri manakala Pengerusi D’Nonce Technology, Datuk Ahmad Ibnijahar hadir bagi merasmikan D’Nonce Penang International Hiking Challenge bagi kategori ‘Fun Hike’ di Taman Perbandaran di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, isteri Ketua Menteri, Betty Chew Gek Cheng bersama anak bongsunya turut menyertai acara pendakian kategori ‘Fun Hike’.Turut sama, Konsul-General Thailand, Voradet Viravakin, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Wanita dan Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim.

SEBAHAGIAN peserta yang menyertai D’Nonce Penang International Hiking Challenge di sini baru-baru ini.
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai
D’Nonce Penang International Hiking
Challenge di sini baru-baru ini.