26 penghuni Rumah Pangsa Desa Wawasan terima surat tawaran sewa beli

Admin

PADANG LALANG – Keceriaan jelas terpancar pada wajah 26 penghuni Rumah Pangsa Desa Wawasan di sini apabila menerima surat tawaran skim sewa beli unit kediaman daripada Kerajaan Negeri.

Majlis penyerahan surat tawaran berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, sebentar tadi.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri memperkenalkan kaedah Sewa Belia atau Rent To Own (RTO) bagi membolehkan penduduk di negeri ini memiliki rumah sendiri dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kediaman masing-masing.

Menurut beliau, melalui kaedah tersebut, pembeli terpilih perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM240 sebulan bagi tempoh 15 tahun mulai 1 Oktober ini.

Chow Kon Yeow menyampaikan surat tawaran sewa beli unit kediaman Rumah Pangsa Desa Wawasan kepada salah seorang pembeli yang layak pada majlis yang berlangsung pagi tadi.

“Bagi fasa pertama, seramai 26 pembeli telah terpilih untuk menerima tawaran skim sewa beli unit kediaman di Blok B, Rumah Pangsa Desa Wawasan.

“Pemilik sewa akan terus membayar sewa yang akan dianggap sebagai bayaran ansuran bulanan bagi tempoh ditetapkan.

“Pada akhir tempoh (bayaran) ini, pemilikan rumah berkenaan akan dipindah milik kepada penduduk serta penghuni yang memilih kaedah sewa beli,” ucapnya pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Sewa Beli Rumah Pangsa Desa Wawasan tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdep Singh Deo; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad; Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, ‘Ainul Fadhilah Samsudi serta Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Desa Wawasan, Sanusi Ahmad juga turut hadir.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta bagi kerja-kerja pembaikpulihan unit-unit kediaman di Blok B, Rumah Pangsa Desa Wawasan sebelum ditawarkan kepada pembeli melalui kaedah sewa beli.

“Justeru, adalah diharapkan melalui kaedah ini ia dapat memberi semangat baru kepada penghuni Rumah Pangsa Desa Wawasan.

Taman permainan antara infrastruktur yang dibangunkan di Rumah Pangsa Desa Wawasan.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu memastikan satu keperluan asas iaitu perumahan dan persekirannya dapat dijaga dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jagdeep menjelaskan bahawa bagi fasa pertama, sebanyak 150 daripada 456 unit kediaman di Blok B, Rumah Pangsa Desa Wawasan telah dikenal pasti untuk ditawarkan kepada pembeli melalui kaedah sewa beli.

“Kita akan beri keutamaan kepada penduduk di perumahan ini terutamanya bagi penghuni yang mempunyai rekod bersih seperti tidak mempunyai tunggakan bayaran serta sebagainya,” jelas beliau.

Difahamkan, Rumah Pangsa Desa Wawasan merupakan yang keenam daripada 13 projek perumahan rakyat di negeri ini yang ditawarkan kepada pembeli melalui kaedah sewa beli.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS