292 projek TPM80PP diluluskan hingga September 2018 – Exco

Admin

BATU LANCANG – Sebanyak 176 permohonan Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) merangkumi 292 projek telah diluluskan Kerajaan Negeri sehingga 1 September 2018.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, kelulusan semasa tersebut membabitkan RM25.6 juta.

Katanya, Kerajaan Negeri komited untuk membantu penduduk yang tinggal di skim perumahan yang layak dari aspek penyelenggaraan dan pembaikan.

Walaupun pada mulanya pelaksanaan tabung ini menghadapi beberapa kekangan, tapi kini kita (Kerajaan Negeri) berjaya laksanakannya.

Terbukti, apabila (292) projek yang lulus menunjukkan peningkatan dan komitmen terbaik telah dilakukan Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri.

Mengikut statistik, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, bilangan projek lulus hanya dalam lingkungan 240 sahaja, tetapi dalam tempoh empat bulan sahaja…prestasi kita dalam membantu isu-isu penyelenggaraan perumahan sangat baik dengan peningkatan 50 projek lebih menjadikan keseluruhan 292 projek,” ujarnya yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Pemilihan Perumahan (SPEC) pada lawatan ringkas ke Flat Taman Sri Damai dekat Batu Lancang, sebentar tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong, Fakhurrazi Ibnu Omar (Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Dasar & Pembangunan, Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri) dan Mohd Fauzy Mohd Yusoff (Penolong Setiausaha Kanan Seksyen Pengurusan Perumahan, Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri).

Pada sidang media yang sama, Jagdeep yang juga merupakan ADUN Datuk Keramat turut mengumumkan dua kelulusan di bawah TPM80PP bagi Taman Seri Damai dan Desa Green di kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Lancang.

Menurut Jagdeep, Kerajaan Negeri melalui TPM80PP akan menyalurkan 80 peratus peruntukan bagi projek pembaikan bumbung di Taman Seri Damai dengan jumlah RM153,471.09, manakala 20 peratus daripada baki keseluruhan projek iaitu RM38,367.77 akan dibiayai oleh Perbadanan Pengurusan taman berkenaan.

Kaedah sama juga diluluskan untuk Desa Green bagi menaik taraf satu unit lif dengan kos RM69,500.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri akan menanggung sebanyak RM55,600 iaitu 80 peratus daripada peruntukan dan bakinya, 20 peratus (RM3,900) ditanggung Perbadanan Pengurusan Desa Green,” ujarnya sambil memaklumkan tiga lagi permohonan TPM80PP bagi KADUN Batu Lancang masih di peringkat perbincangan.