GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri tidak pernah mengabaikan daerah Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tambun.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), sebanyak 30 projek sambungan sedang dilaksanakan dengan kos keseluruhan RM1.06 bilion.
“Bagi kesinambungan pelaksanaan, RM125 juta telah diperuntukkan bagi tahun 2026, manakala baki RM506.4 juta akan diteruskan mengikut jadual dan keutamaan pembangunan.
“Sepertimana yang pernah saya sebutkan sebelum ini, ‘The future of Penang is in Seberang Perai and the future of Seberang Perai is in Batu Kawan’,” ujarnya pada Sesi Penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN ) Kelima Belas di sini hari ini.
Tambah Kon Yeow, antara projek berimpak tinggi lain di SPS ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Jawi, menaik taraf Jambatan Sungai Kerian dan membina jejambat merentasi persimpangan Jalan Persekutuan ke Jalan Transkrian dan sebagainya.
“Selain itu, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bertindak sebagai katalis pembangunan di Batu Kawan melalui pelaksanaan projek-projek utama seperti Sekolah Bandar Cassia, Pasar Awam Batu Kawan, Dataran Usahawan, GBS@Bandar Cassia, Jambatan Batu Kawan, BCTP Fasa 1, pembaikan Jalan Valdor serta infrastruktur di Bandar Cassia Technology Park.
“Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga komited meningkatkan keupayaan bekalan air di SPS melalui pelaksanaan lapan projek jangka pendek dan sederhana bernilai RM532 juta.
“Tambahan pula, pemeteraian MoU Projek Air Pulau Pinang–Perak baru-baru ini melengkapkan perancangan jangka panjang bagi menjamin bekalan air yang mampan di SPS,” jelasnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN