3,800 kilogram sayuran segar diagih kepada golongan memerlukan

Admin

BERTAM – Kerajaan Negeri melalui Pejabat Penyelaras Khas Parlimen Kepala Batas mengagihkan sebanyak 3.8 tan metrik atau 3,800 kilogram (kg) sayur-sayuran segar kepada lebih 2,000 penduduk yang memerlukan.

Lay Hock Peng.

Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng berkata bahawa, pengagihan adalah tertumpu di 13 kawasan di Tasek Gelugor dan enam kawasan di Kepala Batas yang melibatkan 22 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Program ini adalah dianjurkan khusus untuk membantu penduduk-penduduk di kawasan berkaitan yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 terutamanya bagi mereka yang memerlukan.

“Adalah diharapkan agar sayur-sayuran segar yang diagihkan seperti kubis, kangkung, bayam, timun dan banyak lagi dapat meringankan beban mereka untuk menyediakan makanan kepada ahli keluarga pada masa-masa yang sukar ini,” katanya pada sidang media dekat Pejabat Penyelaras Khas Parlimen Kepala Batas dekat sini semalam.

Petugas dan sukarelawan Pejabat Penyelaras Khas Parlimen Kepala Batas sedang membungkus sayur-sayuran untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Menurut Hock peng, selain sayur-sayuran, pejabatnya juga telah mengedarkan sejumlah 12,000 pelitup muka dan biskut kepada penduduk di kedua-dua kawasan tersebut.

“Kami juga bercadang untuk mengedarkan 200 bakul makanan kepada warga emas dan golongan memerlukan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 20 Julai (Selasa) ini,” tambahnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : Pejabat Penyelaras Khas Parlimen Kepala Batas