MBSP pantau pembuangan sampah di tong komunal melalui CCTV

Admin

TELUK AIR TAWAR – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) mudah alih yang menggunakan tenaga solar bagi menangani masalah pembuangan sisa pepejal di luar tong sampah.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, pemasangan CCTV yang diberi nama “Catch You” itu adalah sebagai salah satu kaedah bagi memantau pembuangan sampah pepejal serta sisa pepejal industri dan perdagangan di tong-tong komunal MBSP.

Menurutnya, CCTV mudah alih berkenaan akan dipasang di empat lokasi sebagai perintis iaitu Jalan Bagan Belat, Teluk Air Tawar; Jalan Paya Keladi, Kepala Batas; Kuala Bekah, Penaga dan Jalan Permatang Nibong.

Rupa bentuk CCTV mudah alih ‘ Catch You’ yang dipasang untuk memantau pembuangan sisa pepejal di tong komunal MBSP.

“Empat lokasi ini merupakan kawasan tapak tong komunal MBSP yang dikenal pasti sebagai tempat tumpuan pembuangan sisa pepejal di luar tong dan pembuangan sisa pepejal industri dan perdagangan.

“Hampir 18 peratus saripada 1,039 lokasi tong komunal MBSP iaitu sebanyak 182 lokasi mempunyai isu limpahan sampah dengan 99 dikesan berlaku di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah (72 lokasi) dan selebihnya di Seberang Perai Selatan,” katanya pada majlis pelancaran CCTV berkenaan di Jalan Bagan Belat dekat sini pada 17 Julai lalu.

Jelas Rozali, tujuan asal tong komunal MBSP disediakan adalah bagi kegunaan penduduk kampung untuk melupuskan sisa pepejal domestik tetapi telah disalah guna oleh segelintir pihak industri dan perdagangan.

“Sejak kebelakangan ini, MBSP mendapati isu kebersihan di tapak tong komunal berada pada tahap kurang memuaskan yang mana sampah dibuang di luar tong walaupun masih belum penuh.

“Di samping itu, MBSP juga mendapati terdapat pembuangan sisa pepejal industri dilupuskan di tong komunal sedangkan sisa pepejal industri perlu dilupuskan sendiri oleh pihak industri di Tapak Pelupusan Pulau Burung (TPPB),” tegasnya lagi.

Wira Oren MBSP sedang giat membersihkan sampah yang dibuang di luar tong komunal.

Justeru, beliau menegaskan bahawa tindakan membuang sampah merata-rata atau di lokasi yang tidak sepatutnya serta melupuskan sisa pepejal industri dan perdagangan ke dalam tong komunal merupakan kesalahan dan boleh dikompaun RM1,000 di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah-Sarap MBSP.

Difahamkan, CCTV ‘Catch You’ adalah kerjasama pintar antara MBSP bersama dengan Syarikat Happy Icon.

Dalam pada itu, Rozali memberitahu bahawa beratan sisa pepejal yang dilupuskan di TPPB menunjukkan peningkatan sehingga lapan peratus tahun lepas berbanding tahun sebelumnya iaitu daripada 553,242 tan kepada 558,234 tan.

Katanya, daripada jumlah itu, jumlah beratan sisa pepejal domestik menunjukkan penurunan kepada tujuh peratus iaitu daripada 263,989 tan pada 2019 kepada 245,770 tan (2020).

“Jumlah sampah (sisa pepejal) industri bagaimanapun menunjukkan peningkatan ketara sehingga 20 peratus iaitu daripada 292,252 tan kepada 352,463 tan pada tahun lepas,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MBSP